
PEMERGIAN Safuwan Baharudin dari Selangor FC bukan sahaja meninggalkan kekosongan besar dalam barisan pertahanan pasukan, malah ia turut membuka persoalan mengenai siapakah yang boleh mewarisi lilitan tangan kapten musim depan?
Bek kebangsaan Singapura itu sebelum ini memikul peranan tersebut daripada Brendan Gan dengan pengalaman serta tempoh perkhidmatannya buat skuad Gergasi Merah menjadikannya calon terbaik.
Jadi, dengan dia dilaporkan semakin hampir berkelana pada jendela perpindahan ini, pengendali pasukan, Katsuhito Kinoshi perlu memikirkan pemain manakah yang terbaik untuk dilantik kapten.
BACA LAGI: Bukan saja Safuwan, kapten JDT-Pahang-Sabah juga mungkin 'angkat kaki'
BACA LAGI: Harith Haiqal jadikan kritikan sumber motivasi demi Harimau Malaya
Safuwan dilaporkan akan meninggalkan skuad Gergasi Merah pada jendela perpindahan kali ini. — Facebook/Selangor FC
ama-nama seperti Noor Al-Rawabdeh dan Faisal Halim pastinya meniti bibir penyokong kerana kedua-duanya pernah diberi peranan itu sebelum ini melihat kepada karier dan pengalaman masing-masing.
Bagaimanapun, sekiranya ditanya Safuwan, antara calon terbaik untuk diberikan lilitan tangan ialah rakannya di benteng pertahanan, Harith Haiqal meskipun usianya masih muda.
Ini kerana dalam aksi terakhir Liga Super menentang PDRM FC, pemain dengan jersi no. 55 itu diamanahkan supaya memakainya ketika Safuwan masih menunggu untuk meninggalkan padang.
Harith yang bukanlah kali pertama diberi kepercayaan itu bagaimanapun tidak menolak peluang berkenaan, malah bersedia sekiranya pihak Selangor FC melantiknya sebagai kapten musim depan.
Harith Haiqal memikul peranan kapten dalam saingan ACL Two musim lalu. — Facebook/Selangor FC
"Safuwan hanya memberikan lilitan tangan kapten dan saya hanya ambil tanggungjawab itu. Musim depan, kita tidak pernah tahu siapa tetapi jika diberi, sudah tentu saya akan ambil dengan penuh tanggungjawab.
"Saya boleh simpulkan musim ini ibarat 'rollercoaster', tetapi setakat ini Alhamdulillah. Saya bersyukur dengan perjalanan satu tahun bersama Selangor. Alhamdulillah, layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two sekali lagi, tempat kedua Liga Super dan final Piala FA," katanya kepada Majoriti.
Harith yang baru berusia 22 tahun pernah diberi kepercayaan itu ketika pasukannya menang ke atas Jeonbuk Hyundai Motors dalam saingan ACL Two di laman sendiri.
Pengalaman terhad berbanding rakan sepasukan lain tidak menjadi penghalang buatnya menjadi pemimpin dengan kelantangannya di atas padang membuatkan barisan kejurulatihan percaya terhadapnya.
Harith Haiqal sudah diserap ke dalam skuad senior Gergasi Merah sejak kira-kira empat musim lalu. — Facebook/Selangor FC
Jelasnya lagi, masih tiada sebarang perancangan untuk meninggalkan Selangor FC yang merupakan kelab di negeri kelahirannya selepas empat musim diserap ke dalam pasukan utama.
"Setakat ini, tiada sebarang tawaran tetapi kita tidak tahu pada masa depan. Saya pun tak pernah terfikir untuk keluar daripada pasukan ini, tetapi kita hanya lihat sahaja. Saya boleh katakan hidup mati Selangor, itu sahaja boleh saya katakan," katanya lagi.
Berdasarkan rekod semasa, Harith Haiqal sudah merekodkan 59 penampilan buat skuad Gergasi Merah dengan lapan gol turut berjaya direkodkan dalam tempoh berkenaan.
Kedua-dua angka itu sudah tentu dapat ditingkatkan dengan usianya yang masih muda memberikan ruang untuknya terus berkembang dalam pasukan pada musim-musim akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram