
SELEPAS kira-kira dua minggu jendela perpindahan dibuka, hanya Johor Darul Ta'zim (JDT), Penang FC dan Sabah FC yang sudah memperkenalkan import baharu bagi kempen 2025/26.
Langkah diambil tersebut adalah supaya setiap rekrut luar negara itu dapat menyesuaikan diri dengan segera bagi memastikan impak dibawa mampu menaikkan pasukan masing-masing ke tahap lebih tinggi.
Bagaimanapun, bagi 10 lagi pasukan bertanding, mereka belum menyenaraikan wajah baharu kerana masing-masing setakat ini masih sibuk mengumumkan pemain manakah yang akan dikekalkan.
BACA LAGI: 'Make or break', 3 bintang muda Selangor perlu pastikan musim cemerlang elak ditunjuk pintu keluar
Skuad Gergasi Merah sudah tentu tertarik dengan pemain sayap Muangthong United itu. — Facebook/MFL
Ini kerana pihak pengurusan enggan terburu-buru dalam membawa masuk bintang baharu dari luar negara yang pastinya menelan kos lebih tinggi berbanding mendapatkan khidmat pemain tempatan.
Namun, baru-baru ini, kecoh diperkatakan salah sebuah pasukan tempatan akan mendapatkan khidmat bintang Thailand berdasarkan hantaran pemerhati bola sepak dari negara terbabit, Offeris Wichitchote.
"Selamat datang ke Liga Super, Picha Autra is Red," tulisnya di Facebook pada Sabtu yang memberi bayangan pemain Muangthong United itu sudah memilih kelab tanah air yang sinonim dengan warna merah.
Berdasarkan senarai pasukan bertanding, Selangor FC merupakan destinasi pilihan memandangkan pasukan terbabit terkenal dengan julukan skuad Gergasi Merah sementara pengikutnya dikenali sebagai penyokong Merah Kuning.
Sekiranya dilihat dari segi urusan perpindahan pula, kelab Lembah Klang terbabit memerlukan seorang di posisi tersebut bagi mengurangkan beban dipikul Alvin Fortes dan Faisal Halim.
Skuad Kijang Emas mengenakan jersi merah bagi saingan musim lalu. — Facebook/KDN FC
Perpindahannya ke naib juara Liga Super itu juga boleh dikatakan relevan kerana Selangor FC dan Muangthong United pernah bertemu di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two 2024/25.
Bagaimanapun, tidak boleh dilupakan bahawa terdapat sebuah lagi kelab yang sinonim dengan warna merah, iaitu Kelantan Darul Naim (KDN) FC memandangkan jersi utama musim lalu menggunakan warna terbabit.
Sebelum ini, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menyatakan kelab Pantai Timur itu akan menggunakan khidmat 10 import bagi memberi saingan.
Pandangan itu memberi bayangan bahawa tidak mustahil sekiranya skuad Kijang Emas akan mengalu-alukan kehadiran pemain Muangthong United tersebut bagi memperkuatkan jentera serangan mereka.
Untuk rekod, Picha Autra banyak menghabiskan majoriti daripada kariernya bersama Muangthong United FC, namun pernah mewakili Nakhon Nayok dan Pattaya United FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram