Bukan sekadar 'squad depth', Selangor perlukan bintang muda, cabar posisi pemain import — Akmal Rizal


  • Podium
  • Rabu, 18 Jun 2025

Selangor mengekalkan majoriti pemain mudanya dari musim lalu untuk saingan 2025/2026.

SELANGOR FC sekali lagi memilih untuk mengekalkan kudrat para pemain muda mereka menjelang musim 2025/2026.

Nama-nama seperti Mukhairi Ajmal, Aliff Haiqal dan Izwan Yuslan dikekalkan Katsuhito Kinoshi pada musim penuh pertamanya bersama-sama Gergasi Merah.

Keputusan itu sebaliknya menerima reaksi pelbagai dalam kalangan penyokong. Ada yang menerima, tidak kurang juga yang berpendapat sebaliknya.

BACA LAGI: 'Ubi warisan' terus kekal di Eropah, cerahkan potensi selit ke skuad Harimau Muda

BACA LAGI: Ditunjukkan jalan keluar oleh JDT, Safiq Rahim boleh kembali tabur bakti bersama Selangor-Melaka

Bagi bekas pemain Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, keputusan dilakukan oleh pengurusan Gergasi Merah semestinya sudah mengambil kira faktor musim panjang menanti mereka.

Musim depan, Selangor bakal mewakili Malaysia dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Piala Shopee selain bertarung dalam kesemua pertandingan domestik.

"Pada saya, apa yang Selangor lakukan ini bagus kerana mereka bersaing dalam pelbagai kejohanan termasuklah Liga Juara-Juara AFC 2 dan Piala Shopee. Jadi, mereka akan bermain dalam satu musim yang cukup padat.

"Jadi, pemain-pemain ini akan menjadi nilai tambah untuk pasukan kerana pemain-pemain ini walaupun musim lalu mereka kurang minit bermain tetapi untuk musim ni saya pasti mereka sudah ada pengalaman, sudah ada kualiti. Saya pasti, pengurusan Selangor pasti ada perancangan mereka tersendiri.

"Untuk bersaing dalam ACL2 nanti bukan satu yang mudah, mereka perlu ada skuad yang mantap bukan setakat 15-16 pemain tetapi 20-25 pemain yang betul-betul berkualiti dan bersedia untuk mengharungi sepanjang musim baru," kata Akmal kepada Majoriti.

Tambah Akmal yang juga merupakan bekas penyerang Harimau Malaya, Selangor mungkin mengekalkan mereka sebagai salah satu langkah untuk membina squad depth. Namun, ia lebih daripada itu.

Akan tetapi, para pemain muda harus mencipta persaingan hebat buat nama-nama besar dalam skuad terutamanya bintang import supaya Selangor tampil lebih cemerlang.

"Saya rasa pemain-pemain muda ini akan diberi peluang untuk terus bersama Selangor. Mereka perlu gunakan peluang ini untuk bersaing dengan lebih baik lagi untuk cuba merebut tempat dan cuba mendapatkan minit bermain.

"Selain itu, mereka perlu memberi saingan kepada pemain-pemain import yang akan diambil untuk menguatkan pasukan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram