Format baharu STL menjengkelkan, dianggap kurang mencabar


  • Podium
  • Khamis, 19 Jun 2025

GP Terengganu sudah memasuki peringkat kalah mati yang hadir dengan format berbeza berbanding edisi lalu. — Facebook/STL

LIGA Sepak Takraw (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Terengganu yang bakal menutup tirainya di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu pada Sabtu semakin meriah selepas memasuki pusingan separuh akhir dengan sebanyak empat pasukan berentap untuk mendapat slot ke final.

Mereka merupakan PDRM Defenders, Selangor Pistons, Kuala Lumpur (KL) Thunders dan Melaka Titans yang mahu mendapatkan kemenangan untuk meraih tempat lebih baik dalam carta untuk divisyen Premier.

Bagaimanapun, bagi format kali ini, badan penganjur tampil dengan sedikit kelainan berbanding edisi lalu apabila mereka akan turut menemukan empat naib juara peringkat kumpulan.

BACA LAGI: 'Kami mahu duit kami', pemain Kelantan Warriors tuntut tunai janji selepas menang STL Divisyen 1

BACA LAGI: Klinik STL terus cungkil bakat muda, pertama kali dianjurkan di Pahang

Juara dan naib juara setiap GP akan dibahagikan kepada dua kategori berbeza. Facebook/STL

Pasukan-pasukan itu merupakan Kelantan Warriors, Perak Bison, Johor Tigris serta tuan rumah, Terengganu Turtles yang masing-masing akan merebut tempat kelima bagi GP kali ini.

Perubahan tersebut diharapkan merancakkan lagi arena sepak takraw negara kerana kesemua pasukan mempunyai misi berbeza yang pastinya menarik minat peminat.

Namun, persepsi berbeza dikongsikan di media sosial kerana orang ramai berpandangan format tersebut tidak begitu menarik kerana masing-masing lebih tertarik terhadap struktur lalu.

"Serius, format baharu itu kurang tarikan kerana bagi saya, tidak adil pada kumpulan yang pasukannya semua hebat. Sepatutnya kekalkan sahaja pusingan suku akhir, itu lebih mencabar," kata Putera Syahir Shah.

"Apa punya format ni? Yang berada di tangga kedua kumpulan, perlu bermain untuk merebut kedudukan kelima pula? Siapa yang mahu saksikan perebutan sebegitu?" soal Mohammad Rushduddin Zarif.

Saingan ke peringkat akhir STL GP Terengganu sudah tentu menjadi tumpuan utama. Facebook/STL

"Sepatutnya buat sahaja seperti tahun lalu, barulah peluang lebih terbuka. Kalau muncul naib juara sekali pun, masih ada peluang muncul juara GP. Ini tak, yang juara kumpulan sahaja dapat ke separuh akhir," kata Muhammad Afiq.

Berdasarkan format edisi lalu, dua pasukan teratas akan mara ke pusingan kalah mati dengan pertembungan akan dimulakan di pentas separuh akhir sebelum masing-masing merebut slot ke final.

Kesemua perlawanan, termasuk Klasifikasi Tempat Kelima hingga Kelapan akan diadakan pada Jumaat di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu yang pasti menarik ramai peminat.

Tumpuan utama sudah tentu diberikan ke arah pertembungan antara KL Thunders dan Melaka Titans kerana kedua-dua itu mempunyai rekod dan skuad baik berbanding pencabar lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram