MFL umum 13 kelab sah bertanding Liga Super, Sri Pahang ‘tercicir’


  • Podium
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Tiada aksi Sri Pahang FC dalam Liga Malaysia musim depan. — Facebook/Sripahangfc

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan sebanyak 13 kelab mengesahkan penyertaan untuk bertanding dalam musim baharu Liga Malaysia 2025/2026 yang bakal bermula pada 8 Ogos ini.

Senarai kelab yang akan beraksi merebut kejuaraan kali ini adalah juara bertahan, Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC.

Pendatang baharu dari Brunei, DPMM FC pula menjadi wakil dari luar negara yang akan beraksi di Liga Super dan dua kelab daripada AFL A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC melengkapkan senarai 13 pasukan.

BACA LAGI: Tinggalkan Sabah FK, 3 sebab Irazabal perlu pilih The Rhinos berbanding JDT

BACA LAGI: Jadual baharu EPL beri petanda Man United bakal terperosok ke bawah liga

Menurut MFL dalam satu kenyataan di Facebook, kesemua kelab tersebut telah diberikan Lesen Kebangsaan 2025/2026 oleh badan bebas First Instance Body (FIB), manakala DPMM FC diberikan kelulusan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) untuk bertanding dalam Liga M musim depan.

Bagaimanapun, Sri Pahang FC, meskipun telah menerima Lesen Kebangsaan bagi musim 2025/2026, secara rasmi mengumumkan penarikan diri daripada saingan Liga M selepas mengemukakan surat pengesahan bertarikh 16 Jun 2025.

"Kalendar Liga Malaysia musim ini akan bermula dengan pertembungan juara Liga Super JDT dengan naib juara Liga Super Selangor dalam aksi Sumbangsih pada 8 Ogos 2025 yang juga perlawanan pembuka tirai liga di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

"Manakala kejohanan Piala FA pula akan bermula pada pertengahan Ogos ini, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup pada Januari 2026.

"Saingan Liga Malaysia 2025 dijangka berlangsung selama 10 bulan selepas selesai proses transisi musim lalu yang menyaksikan kelab-kelab mengharungi tempoh musim panjang selama 14 bulan bagi menyelaras kalendar Liga Malaysia selari dengan liga-liga utama luar negara," katanya.

MFL dijangka mengeluarkan jadual penuh Liga Malaysia 2025/2026 dalam masa terdekat setelah berdepan kekangan untuk melengkapkannya lebih awal.

Hal ini disebabkan keperluan menunggu sesi undian Liga Juara-Juara AFC (ACL Elite) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) yang melibatkan JDT dan Selangor, yang dijadual berlangsung pada 15 Ogos 2025.

Pada masa yang sama, MFL juga masih menantikan pengesahan tarikh rasmi bagi Kejohanan Kelab Asean anjuran AFF, yang turut menyaksikan penyertaan JDT dan Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram