
LEGENDA bola sepak Pahang, Datuk Jamal Nasir berharap semua pihak dapat menghormati keputusan Sri Pahang FC untuk tidak lagi bertanding dalam Liga Malaysia musim 2025/2026., lapor MFL.
Beliau yang pernah berbakti bersama pasukan Pahang pada era 70-an percaya pihak pengurusan pastinya ada alasan tersendiri untuk menarik diri daripada bertanding dan berharap keputusan yang diambil itu dapat memberi peluang kepada kelab untuk bangkit semula pada masa hadapan.
Sudah tentu, Jamal berasa sedih dan terkilan apabila kelab yang mempunyai penyokong fanatik dan sejarah besar dalam arena bola sepak tidak lagi akan berjuang di atas padang pada musim depan.
BACA LAGI: MFL umum 13 kelab sah bertanding Liga Super, Sri Pahang ‘tercicir’
BACA LAGI: Tinggalkan Sabah FK, 3 sebab Irazabal perlu pilih The Rhinos berbanding JDT
Namun, beliau yakin keputusan tersebut tidak dibuat sewenang-wenangnya selepas mengambil kira situasi sulit yang pernah dihadapi mereka musim lalu.
“Sudah tentu keputusan yang dibuat ini mengecewakan seluruh peminat bola sepak Pahang sebab kelab ini pernah menjadi antara yang terbaik dalam Liga Super sehingga mereka pernah ke final Piala Malaysia dan akhirnya musim depan terpaksa menarik diri.
“Saya pun rasa sedih tapi nak buat macam mana, mungkin ada sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan oleh pihak pengurusan sehingga mereka membuat keputusan itu.
Legenda Pahang, Jamal Nasir. — Agensi
“Saya harap penyokong dapat bersabar dan mungkin ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh mereka walaupun Lesen Kebangsaan telah diluluskan dan keputusan untuk menarik diri adalah yang terbaik.
“Tapi kalau boleh janganlah ada yang menyalahkan mana-mana pihak pula dengan keputusan yang dibuat itu sebab saya yakin pihak pengurusan juga dah fikir panjang apatah lagi sebelum ini pun mereka pernah ada masalah gaji dan sebagainya.
“Jadi bagi saya, tak salah kalau Sri Pahang ambil satu langkah ke belakang untuk mereka buat persiapan lebih rapi dan perbaiki apa yang patut agar dapat bangkit semula pada masa hadapan, apa pun saya tetap positif dengan keputusan yang telah dibuat ini,” jelasnya.
Untuk rekod, Sri Pahang FC menamatkan saingan Liga Super 2024/2025 di tangga kelapan dan dinobatkan naib juara selepas berjaya melangkah ke pentas final Piala Malaysia 2024.
Dengan penarikan diri Sri Pahang untuk musim depan menyaksikan sebanyak 13 pasukan telah mengesahkan penyertaan Liga Malaysia 2025-2026 iaitu Johor Darul Ta'zim FC (JDT), Selangor FC,Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC dan DPMM FC serta dua kelab daripada AFL A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram