Isu tunggakan gaji dan bonus, bintang buangan JDT saman bekas kelab lebih RM100,000


  • Podium
  • Sabtu, 21 Jun 2025

Skuad Harimau Selatan dilimpahi import yang hadir daripada pelbagai latar belakang. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SEHINGGA hari ini, nasib pemain paling bernilai Liga Super, Jalil Elias bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) terus menimbulkan tanda tanya kerana dia hanya mencatatkan satu penampilan setakat ini.

Dia yang diturunkan dalam aksi pembuka tirai kempen lalu kemudian dipinjamkan semula ke Argentina untuk menyertai Velez Sarsfield dengan dia berjaya membantu kelab tersebut menjulang kejuaraan liga.

Bagaimanapun, usahanya untuk terus kekal di Amerika Selatan tidak kesampaian apabila rundingan kedua-dua pasukan tidak membuahkan hasil, sekali gus menyaksikannya kembali ke pangkuan skuad Harimau Selatan.

BACA LAGI: Belum 'move on' dari Argentina, Jalil Elias disebut kembali ke kelab lama

BACA LAGI: Terima kasih beri peluang beraksi di negara sendiri — Jalil Elias

Jalil hanya sempat beraksi sekali bersama skuad Harimau Selatan sebelum dipinjamkan keluar. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Meskipun terdapat persaingan hebat dalam JDT, Jalil yang merupakan pemain kebangsaan Syria pasti mahu berusaha menyesuaikan diri dalam usaha mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Namun, baru-baru ini, nama pemain berusia 29 tahun itu kembali menjadi sebutan, tetapi bukan kerana kesungguhan ditonjolkan di sesi latihan skuad Harimau Selatan yang bermula awal minggu lalu.

Ini kerana Jalil dilaporkan mahu menyaman kelab lamanya, San Lorenzo FC berhubung isu tunggakan gaji dan bonus yang sepatutnya diselesaikan sebelum dia berpindah ke Selatan tanah air.

Berdasarkan laporan Vamos Cicolon, pemain terbabit berhasrat mengambil tindakan undang-undang bagi 33.6 juta pesos Argentina (RM120,000) tunggakan yang belum dilunaskan setakat hari ini.

Jalil menghabiskan tempoh tiga musim beraksi buat San Lorenzo. — Agensi

"Tuntutan itu dibuat hanya beberapa bulan selepas Jalil dilaporkan hampir kembali ke San Lorenzo. Awal tahun lalu, dia sudah melepasi ujian kesihatan dan terbuka untuk menyertai kelab itu secara pinjaman sehingga Disember.

"Klausa khas dan pilihan untuk menjadikan perpindahan itu kekal dijangka disertakan dalam kontrak, namun rundingan gagal dimeterai. Kegagalan itu adalah kerana San Lorenzo tidak mempunyai dana untuk mengesahkan perpindahan itu," tulisnya.

Jalil sebelum ini menyertai JDT secara percuma berikutan kontraknya bersama kelab Argentina itu tamat, sekali gus menyaksikan tempoh perkhdimatannya selama tiga musim berakhir.

Sekiranya tindakan undang-undang itu diteruskan, ia akan memberi tekanan kewangan buat San Lorenzo yang mengalami isu pengurusan ketika ini dengan seorang lagi bekas pemain, Gaston Campi turut berbuat demikian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram