
PEMAIN sayap kebangsaan, Fazrul Amir Md. Zaman menggesa Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) agar memberi keutamaan kepada penyelesaian tunggakan gaji pemain sebelum membuat perancangan membawa masuk pemain import bagi musim 2025/2026.
Gesaan tersebut dibuat susulan kenyataan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini yang mendedahkan KDN FC dijangka diperkuat sekurang-kurangnya 10 pemain import musim depan.
“Sekurang-kurangnya 10 pemain import dijangka membarisi Kelantan DN 2025,” kata Annuar di Facebook.
BACA LAGI: Tinggalkan Sabah FK, 3 sebab Irazabal perlu pilih The Rhinos berbanding JDT
BACA LAGI: Keputusan Sri Pahang tarik diri persediaan untuk bangkit kembali — Jamal Nasir
Tangkap layar Insta Story Fazrul Amir.
Bagaimanapun, kenyataan itu mengundang rasa kurang senang Fazrul yang berpendapat isu tunggakan gaji perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum fokus diberikan kepada aspek teknikal seperti pembelian pemain baharu.
Fazrul menerusi satu hantaran di Insta Story peribadinya menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pihak pengurusan KDN FC yang dilihat seolah-olah mengabaikan tanggungjawab membayar gaji pemain.
“Kena pandai bezakan antara tanggungjawab, keperluan dan keinginan. Bayar hutang itu satu tanggungjawab dan keperluan yang perlu disegerakan.
“Manakala, 10 pemain import itu hanya satu keinginan yang boleh ditangguhkan. Bila sudah stabil atau semua hutang diselesaikan, ambillah 15 pemain pun tak apa,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram Story.
Fazrul turut menzahirkan rasa kecewa apabila pemain dan staf diminta terus bersabar, meskipun telah lama berhadapan dengan isu tunggakan bayaran.
“Nak suruh kita sabar, kamilah orang yang sudah merasa sabar sebelum ini,” tambahnya.
Untuk rekod, isu tunggakan gaji dan pengurusan kewangan KDN FC bukan perkara baharu dalam landskap bola sepak tempatan.
Setakat ini, KDN masih belum memberikan sebarang respons berhubung dakwaan Fazrul Amir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram