'Tak salah sertai JDT, asalkan Jon Irazabal perlu terus konsisten'


  • Podium
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Irazabal merupakan bintang baharu Harimau Malaya selepas aksi debut yang memukau awal bulan lalu. — Instagram/Jon Irazabal

DALAM aksi debut menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, Jon Irazabal yang diturunkan dalam barisan pertahanan Harimau Malaya memberi aksi memukau untuk memastikan pintu gol negara tidak dibolosi.

Pemain yang diturunkan di samping seorang lagi pemain warisan, Facundo Garces itu tenang sepanjang 90 minit di atas padang apabila dia mudah mematahkan serangan pihak lawan.

Persembahan dipamerkannya itu sekali gus membuatkan penyokong negara mengharapkan penglibatan berterusan daripada Irazabal dalam misi Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2027.

BACA LAGI: Tinggalkan Sabah FK, 3 sebab Irazabal perlu pilih The Rhinos berbanding JDT

BACA LAGI: Jon Irazabal-Sabah FK berpisah, tak mustahil transit dulu sebelum ke JDT

Debut memukau ditunjukkan Irazabal ketika kemenangan ke atas Vietnam. — Instagram/Jon Irazabal

Bagaimanapun, baru-baru ini, kisah berbeza dialami pemain berusia 28 tahun berkenaan yang diumumkan tidak lagi bersama kelabnya, Sabah FK yang beraksi dalam Liga Azerbaijan.

Keputusannya itu dibuat tanpa sebarang faktor kukuh dan tiada masa depan memandangkan kelab sekitar Eropah pasti kurang mengenali reputasi bek tengah kelahiran Sepanyol terbabit.

Jadi, dengan tiada destinasi dikenal pasti, timbul khabar angin mengatakan bintang baharu skuad kebangsaan tersebut akan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) yang memerlukan pemain baharu di posisi berkenaan berikutan pemergian Jordi Amat.

Ura-ura tersebut bagaimanapun seperti tidak direstui peminat bola sepak tempatan yang berasakan adalah lebih baik sekiranya Irazabal kekal di Eropah berbanding menyertai kelab Liga Super yang sukar memberikannya saingan kompetitif.

Irazabal mengumumkan perpisahan dari Sabah FK yang menyaksikannya berstatus ejen bebas. Facebook/Sabah FK

Namun, bagi pandangan pemerhati bola sepak tanah air, Afiq Rowley, keputusan menyertai skuad Harimau Selatan tidaklah seteruk apa difikirkan orang ramai, lebih-lebih lagi sekiranya tiada kelab berminat dengan khidmatnya.

"Jika tanya saya, sudah tentu intensiti dan suasana akan berbeza, terutama kualiti lawan akan dihadapi Irazabal. Tetapi, dia tak dapat tawaran lain di Eropah, tak salah sertai JDT.

"Ini kerana tidak semua kelab mampu beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite dan ini loncatan terbaik juga buatnya untuk tarik perhatian kelab lebih besar sekitar Asia pada masa depan jika berjaya bersama JDT," katanya kepada Majoriti.

Sebelum beraksi buat Sabah FK, Irazabal banyak menghabiskan karier bersama kelab kerdil di Sepanyol, termasuk Deportivo Mirandes dan Amorebieta yang mempersiapkannya ke tahap tertinggi.

Peluang menyertai skuad Harimau Selatan sukar ditolak mana-mana pemain. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagaimanapun, kebolehan sebenarnya disaksikan sejak menyertai pasukan Azerbaijan itu kerana dia sempat beraksi di pentas Eropah dalam kempen Kelayakan Liga Konferens Europa UEFA (UECL) musim lalu.

Setiap minit direkodkan di benua berkenaan menjadikannya nilai tambah cukup bermakna buat Harimau Malaya yang memerlukan pemain berpengalaman dalam benteng pertahanan.

Dalam pada itu, Afiq mengharapkan Irazabal dapat beraksi dalam intensiti yang sama bagi kempen akan datang sekiranya menyertai JDT kerana khidmatnya amat diperlukan skuad kebangsaan.

"Saya harap dia dapat peluang secukupnya untuk kekal konsisten kerana dia aset negara. Manfaat yang baik juga jika dia serta JDT sebenarnya kerana tak lagi terikat dengan isu jadual kelab di luar negara untuk bersama skuad kebangsaan," katanya lagi.

Selain dikaitkan dengan perpindahan ke Selatan tanah air, Irazabal turut digembar-gemburkan akan kembali ke Sepanyol untuk menyertai RCD Mallorca dengan kata putus perlu diberikan semula tutupnya jendela musim panas ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram