
BEKAS pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, E. Elavarasan sah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam saingan Liga Super musim depan.
Pemerhati sukan, T Avineshwaran menerusi ciapan di platform X memaklumkan perkara tersebut pada Jumaat.
"E. Elavarasan hampir pasti menjadi individu yang akan mengetuai pasukan Liga Super, Kelantan," tulisnya di laman X peribadi.
BACA LAGI : Lepas kiper JDT, ada 3 lagi bintang boleh jadi sasaran Kuching City termasuk penyerang Sabah
BACA LAGI : Bekas orang kuat Sabah FC ucap maju jaya buat OKS, sempat ajak 2 ex Sang Badak sertai aksi ‘farewell’
Difahamkan, Elavarasan merupakan calon utama dan hampir pasti akan mengambil alih pasukan selepas tidak memikul sebarang tugas sejak digugurkan dari skuad muda negara dua tahun lalu.
Dia juga dilihat sebagai individu yang tepat untuk membawa KDN keluar daripada kemelut prestasi yang melanda sejak awal musim lalu.
Dalam pada itu Tan Sri Annuar Musa menerusi satu kenyataan pada Jumaat mengesahkan khabar angin terbabit menerusi satu kenyataan di laman Facebook peribadi miliknya.
"Kelantan serius mahu mengembalikan kegemilangan bola sepak.
"Tahniah pada pasukan tunggal Kelantan yang akan beraksi di Liga Super 2025-2026.
"Selamat datang jurulatih kebangsaan Elavarasan dan jurulatih antarabangsa UEFA, Muammer Salibasic yang akan berganding bahu melatih Kelantan.
"Beberapa pemain kebangsaan negara Asean, Asia dan Afrika sudah diikat utk membentuk pasukan berwajah baru Kelantan. Selamat Berjuang Kelantan," katanya
Pelantikan jurulatih berpengalaman itu diyakini mampu menyuntik nafas baharu dalam skuad KDN yang kini bergelut di tangga tercorot Liga Super.
Elavarasan yang terkenal dengan ketegasan taktikal dan pendekatan moden pernah membimbing beberapa pasukan Liga Malaysia seperti PKNS FC, Sarawak dan PDRM FC, selain memainkan peranan penting dalam pembangunan pemain muda ketika mengetuai skuad Harimau Muda B-23.
KDN FC sebelum ini memecat ketua jurulatih, Park Jae-hong terdahulu ekoran deretan kekalahan yang memalukan, termasuk kekalahan besar kepada beberapa pasukan gergasi liga.
Pastinya cabaran utama Elavarasan adalah memperkukuh benteng pertahanan pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu serta memperbaiki moral pemain bagi menghadapi baki saingan liga yang semakin mencabar.
Penyokong setia KDN FC pastinya menaruh harapan agar kehadiran Elavarasan dapat membawa sinar baharu buat pasukan kesayangan mereka yang semakin terpinggir dari peta bola sepak tanah air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram