JDT hampiri rekrut ke-4, ikat 'midfield' Sepanyol kontrak 3 tahun


  • Podium
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Nacho yang beraksi dalam liga kedua Sepanyol akan menjadi rekrut keempat skuad Harimau Selatan bagi jendela perpindahan kali ini. — Agensi

MESKIPUN sudah memiliki lambakan pilihan di posisi tengah, Johor Darul Ta'zim (JDT) masih bersungguh-sungguh membawa masuk muka baharu di posisi itu pada jendela perpindahan kali ini.

Ini dibuktikan dengan keputusan membawa masuk Ibrahim Manusi dari Sri Pahang FC dengan bakat dan prospek dimilikinya boleh diasah sebagai bintang baharu negara.

Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan masih bercita-cita besar untuk memperkuatkan posisi berkenaan apabila baru-baru ini, mereka dikaitkan dengan pemain dari Sepanyol, Nacho Mendez.

BACA LAGI: Lepas Nacho Mendes, bekas rakan sepasukan Man United disebut isi slot penyerang JDT

BACA LAGI: JDT bercita-cita besar sambar 'midfield' Sepanyol, sanggup tawar gaji hampir setengah juta ringgit sebulan

Skuad Harimau Selatan akan terus memperkuatkan pasukan menjelang musim baharu. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Berdasarkan khabar angin terdahulu, JDT dilaporkan menawarkan kenaikan gaji sehingga empat kali ganda buat pemain tersebut yang akan menamatkan kontraknya bersama Sporting Gijon pada 30 Jun depan.

Pelaburan itu boleh dikatakan sesuatu yang cukup besar kerana juara bertahan Liga Super berkenaan akan membayar RM100,000 seminggu atau kira-kira RM450,000 setiap bulan.

Permintaan tersebut seperti tidak memberi tamparan hebat buat JDT kerana dalam laporan terbaru, kelab Selatan tanah air berkenaan difahamkan sudah berjaya mengikat pemain terbabit.

Menurut El Comercio pada Khamis, Nacho Mendez sudah menandatangani kontrak tiga tahun bersama JDT dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat.

"Terdapat perbincangan buat pemain itu untuk terus kekal di Sepanyol kerana dia berada dalam radar Levante. Bagaimanapun, tiada tawaran dibuat dan Nacho tidak mahu menunggu terlalu lama.

Nacho dilaporkan akan menjadi pengganti kepada Natxo yang memasuki fasa akhir dalam kariernya. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Dalam masa sama, JDT sudah membuat tawaran kerana mereka mahu menggantikan Natxo Insa yang akan menamatkan karier selepas menjadi nadi utama kelab Malaysia itu bertahun-tahun lamanya. JDT menawarkan kontrak sukar ditolak selain membincangkan projek bercita-cita besar," tulisnya.

Meskipun tidak pernah meninggalkan negara kelahirannya, Nacho pasti tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dalam skuad Harimau Selatan yang dilimpahi lambakan bintang Sepanyol seperti Samu Castillejo serta pengendali baharu, Xisco Munoz.

Kehadiran pemain berusia 27 tahun itu juga akan menyaksikan pelbagai pilihan dimiliki di posisi berkenaan yang pasti membolehkan JDT memberi saingan lebih hebat dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.

Sekiranya Nacho diumumkan sebagai pemain baharu skuad Harimau Selatan, dia akan menjadi rekrut keempat buat pasukan itu yang juga sudah mengalu-alukan kehadiran Cristian Glauder, Jairo da Silva serta Ibrahim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram