
MESKIPUN terus mendominasi arena bola sepak tanah air musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) masih berusaha melakukan rombakan terhadap pasukan dengan membawa masuk nama-nama baharu.
Setakat ini, kelab Selatan tanah air itu sudah membawa masuk tiga pemain baharu iaitu Cristian Glauder, Jairo da Silva serta prospek muda Sri Pahang FC, Ibrahim Manusi.
Ketiga-tiga rekrut baharu berkenaan menunjukkan pasukan tersebut bersemangat dalam memberi saingan lebih baik di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite seperti mana diharapkan pihak pengurusan.
BACA LAGI: [VIDEO] Bintang warisan, Jasir Asani dan CM Sepanyol dalam carta pilihan sertai JDT
BACA LAGI: Lawan jadi kawan, Terengganu, Selangor, JDT wajar sambar 'mimpi ngeri' masing-masing di pentas Asia
Jairo da Silva menjadi salah seorang rekrut baharu skuad Harimau Selatan memasuki musim 2025/26. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, sekiranya ditanya penyokong, mereka masih bercita-cita besar untuk mendapatkan pemain kebangsaan Albania, Jasir Asani yang pernah mengecewakan skuad Harimau Selatan di pentas Asia musim lalu.
Tonggak kelab Korea Selatan, Gwangju FC tersebut menjaringkan dua gol ketika berdepan JDT dalam perlawanan yang berakhir dengan kekalahan 1-3 buat wakil tunggal Liga Super berkenaan.
Keunggulan dipamerkan penyerang itu membuatkan peminat bercita-cita untuk menyaksikan kehadirannya dalam skuad Harimau Selatan memandangkan kontraknya di Korea Selatan akan tamat tidak lama lagi.
Bagaimanapun, hasrat menyaksikan penyerang tersebut dalam pasukan itu semakin tipis selepas laporan baru-baru ini mengatakan Asani berada dalam radar kelab Jepun, Yokohama F Marinos menurut ciapan Korea Football News di laman X.
"Menurut laporan media Jepun, Yokohama F Marinos sudah membuat tawaran terhadap Gwangju FC untuk mendapatkan khidmat Jasir Asani," tulisnya.
Jasir Asani (kanan) meledak dua gol ketika Gwangju FC menundukkan skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Walaupun kelab tersebut berada dalam kedudukan terbawah Liga J1 selepas 20 perlawanan, peluang menyertai pasukan sekitar Asia Barat sukar ditolak mana-mana pemain kerana tahap bola sepak di sana jauh lebih tinggi.
Ini kerana Yokohama F Marinos yang berada di tangga tercorot masih melangkah ke suku akhir ACL Elite musim lalu dengan itu membuktikan kebolehan pasukan Jepun bersaing di peringkat tertinggi.
Setakat ini, Asani tidak pernah beraksi di Jepun dengan satu-satunya pengalaman penyerang tersebut di arena bola sepak Asia adalah sepanjang dua musim bersama Gwangju FC.
Pasukannya itu bagaimanapun seperti terlepas peluang untuk melayakkan diri ke kejohanan tertinggi Asia tersebut musim depan kerana hanya berada di tangga keenam selepas 19 perlawanan.
Namun, Gwangju FC masih berpeluang menempah tiket ke ACL Two sekiranya mampu meneruskan rentak kerana mereka hanya perlu berada di kedudukan keempat untuk ke pertandingan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram