GENAP dua tahun lalu, penyokong Hijau Kuning dipersembahkan dengan debut pemain tengah dari Thailand, Sanrawat Dechmitr yang diturunkan dalam aksi persahabatan menentang Perak FC.
Dia yang sebelum itu beraksi di negara kelahirannya bersama Bangkok United dibawa masuk dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada waktu tersebut sedang beraksi dalam saingan Piala AFC.
Prospek cukup menarik dihidangkan pemain berkenaan memandangkan dia memiliki pengalaman beraksi buat beberapa kelab di Thailand dan Singapura.
BACA LAGI: Hanya beraksi di kelab amatur, Kedah boleh pulihkan kembali karier bekas import
BACA LAGI: Pernah dipuji TCH, bintang Thai bakal pulih reputasi Sang Kenari
Kemasukan Sanrawat membawa keghairahan dalam kalangan penyokong Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Harapan menggunung diletakkan di bahunya seakan-akan tidak membawa sebarang isu apabila Sanrawat menjadi watak penting sepanjang musim 2022 buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.
Tenang dalam mengawal bola dan membuat hantaran merupakan antara aspek permainan terbaik daripada tonggak skuad Gajah Perang itu meskipun prestasi skuad Sang Kenari tidaklah begitu memberangsangkan ketika itu.
Namun, kehadirannya tidak membawa hubungan signifikan antaranya dengan penyokong kerana dia pernah menjadi duri dalam daging dalam aksi antara Harimau Malaya dan Thailand.
Momen yang paling sukar dilupakan adalah ketika Sanrawat mewakili negaranya dalam Piala AFF 2018 dengan kedua-dua pasukan bertemu di peringkat separuh akhir.
Sanrawat mengumpul beberapa kaps bersama skuad Gajah Perang. — Agensi
Selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi pertama, pemain tengah berkenaan mengeluarkan kenyataan berani dengan mengatakan skuad kebangsaan lebih tertekan menjelang perlawanan di Stadium Rajamangala, Thailand.
Bagaimanapun, perkara berkenaan tidak memberi sebarang kesan buat Harimau Malaya yang masih mara ke perlawanan akhir berdasarkan peraturan tempat lawan selepas pertemuan terbabit berakhir dengan keputusan 2-2.
Ia sekali gus membuatkan kata-kata dilontarkan Sanrawat terpaksa ditelannya semula sambil dia melihat pasukan negara beraksi di pentas 'final' berdepan Vietnam.
Meskipun perkara itu sudah berlalu, penyokong masih sukar melupakannya dengan masing-masing terus tertarik dengan ungkapan pernah dikeluarkannya secara terbuka.
Sanrawat (tiga dari kiri) beraksi dalam kempen Piala AFF 2018. — Agensi
Namun, sekiranya ditanya pengikut setia Kedah, kenangan paling diingati mengenai Sanrawat yang kini berusia 34 tahun, sudah tentu berkaitan tempohnya bermain buat kelab terbabit.
Walaupun hanya semusim, dia masih meninggalkan kesan dengan penyokong Hijau Kuning masih beranggapan pemain itu adalah antara jeneral import terbaik pernah dimiliki.
Kini, Sanrawat tidak beraksi buat mana-mana pasukan selepas kali terakhir menyertai sebuah kelab amatur yang beraksi dalam liga sosial di Thailand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram