
PERTAHANAN warisan skuad kebangsaan, Jon Irazabal sah mengucapkan selamat tinggal Sabah FK selepas tiga musim pemain berkenaan menyarung jersi pasukan berpangkalan di Azerbaijan tersebut.
Kelab terbabit mengumumkan perpisahan dengan Irazabal menerusi laman media sosial rasmi mereka pada Selasa dengan Sabah mengucapkan terima kasih dan salam perpisahan kepadanya sepanjang tiga tahun di sana.
BACA LAGI: Hasrat fans Harimau Malaya lihat kelibat Jon Irazabal di kem kebangsaan tertangguh?
"Sejak 2022, Jon Irazabal telah menyarung jersi skuad Sabah namun dengan tamatnya kontrak pada akhir musim ini, kami secara rasmi berpisah dengan dia.
"Jon yang dihormati, terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Semoga berjaya dalam kerjaya anda," kata kelab berkenaan.
Untuk rekod, bek tengah berusia 28 tahun berkenaan merekodkan 98 penampilan bersama Sabah dan menjaringkan enam gol dan melakukan dua bantuan jaringan untuk pasukan gergasi Azerbaijan tersebut.
Selain itu, Irazabal juga sempat merasai kejuaraan Piala Azerbaijan yang dimenangi oleh Sabah FK pada 31 Mei lalu selain membantu kelab berkenaan muncul naib juara dan tempat ketiga Liga Azerbaijan.
Dengan perpisahannya bersama Sabah FK, ramai penyokong mula tertanya-tanya masa depan pemain itu, sama ada Irazabal akan terus berkelana di luar negara atau menyertai kelab Liga Malaysia (Liga M).
Menjengah ruangan komen, sebahagian penyokong meramal bahawa bek berketinggian 1.87 meter berkenaan akan disambar juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) tapi sebelumnya akan berkelana ke kelab lain.
"Akan ke JDT mungkin Irazabal ini. Tapi sebelum itu, transit ke kelab lain," kata penyokong Harimau Selatan, Cthulu_awaken.
"Jordi Amat dah pergi. Tengok sahaja lah di mana tempat persinggahan dia dalam satu ke dua musim ini," komen pengikut Harimau Malaya, Mek Momek.
"Hector Hevel dah pasti. Sama ada dia downgrade kelab atau main di Asia. Hujung-hujung sambung transit Liga Thai atau terus ke destinasi yang sebenar. Percaya lah," komen penyokong, Danial Palmer.
Dengan pemain tengah warisan Harimau Malaya iaitu Hevel juga sudah mengesahkan bakal menyertai Harimau Selatan, tidak mustahil Irazabal juga akan mengikuti langkah berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram