Tinggalkan Sabah FK, 3 sebab Irazabal perlu pilih The Rhinos berbanding JDT


  • Podium
  • Khamis, 19 Jun 2025

Sebahagian aksi cemerlang Jon Irazabal ketika mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya, mengekang asakan jentera serangan Vietnam dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027. — Malaysia NT

JON Irazabal ke Liga Malaysia? Itulah persoalan yang mula hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan selepas pertahanan skuad kebangsaan itu secara rasmi mengumumkan perpisahannya dengan kelab Azerbaijan, Sabah FK.

Perpisahan tersebut berlaku susulan kontrak Irazabal bersama kelab berkenaan tamat, sekali gus menamatkan perjalanan bersama pasukan itu sejak 2022.

BACA LAGI: 'Mainlah sepenuh hati’, legenda Sabah sokong kepulangan anak jati ke Negeri Di Bawah Bayu

BACA LAGI:  Legenda Sang Badak pertikai kualiti import, ramal Sabah sukar kekal Top 3 Liga Super

Bek Harimau Malaya, Jon Irazabal dilihat lebih sesuai untuk menyertai Sabah FC musim depan. — Malaysia NT

Sepanjang bersama Sabah FK, pemain berusia 28 tahun itu mencatatkan 98 penampilan, menjaringkan enam gol serta menyumbang dua bantuan jaringan, satu rekod yang membuktikan sumbangannya kepada kelab gergasi Azerbaijan tersebut.

Kini bergelar ejen bebas, masa depan Irazabal menjadi topik hangat, dengan peminat tertanya-tanya sama ada dia akan terus beraksi di luar negara atau memilih untuk menyertai saingan Liga Malaysia.

Sebelum ini, Irazabal pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta'zim (JDT), namun sehingga kini tiada pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak.

Namun begitu, perpindahan Irazabal ke Sang Badak dilihat lebih realistik, lebih-lebih lagi dengan latar belakang keluarganya yang berasal dari Sabah serta pengalaman luas di peringkat antarabangsa.

Jika perpindahan itu menjadi kenyataan, Irazabal bakal menjadi aset penting dalam usaha memperkukuh skuad Sang Badak dan memberi impak positif terhadap perkembangan bola sepak di negeri berkenaan.

1. Ganti Gabriel Peres

Perpindahan Irazabal ke Sabah FC dijangka mampu memperkukuh benteng pertahanan pasukan itu yang sebelum ini dilihat mudah dibolosi pihak lawan.

Untuk rekod, gawang The Rhinos dibolosi sebanyak 33 kali musim lalu, berpunca daripada kelemahan di barisan pertahanan yang gagal berfungsi dengan berkesan.

Kehadiran Irazabal, yang memiliki ketinggian 1.91 meter, dilihat sebagai langkah strategik untuk memperbaiki aspek tersebut dalam pasukan kendalian Martin Stano.

  Kehadiran Jon Irazabal ke The Rhinos dijangka mampu mengisi kekosongan Peres sekiranya dia berhijrah ke Indonesia. — Malaysia NT

Keyakinan terhadap keupayaannya turut disokong oleh prestasi cemerlang yang dipamerkan ketika membantu skuad Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027, satu perlawanan yang memperlihatkan ketenangan dan kawalan pertahanannya yang mantap.

Selain itu, Irazabal juga berpotensi menggantikan tempat pertahanan Sabah FC, Gabriel Peres yang dikaitkan dengan perpindahan ke dua kelab Indonesia, Malut United dan Persis Solo.

Jika perpindahan Peres ke Liga 1 Indonesia menjadi kenyataan, peluang untuk Irazabal menyertai dan beraksi bersama Sabah FC dilihat semakin cerah dan realistik.

2. Mudah sertai kem Harimau Malaya 

Irazabal disarankan kekal beraksi dalam saingan Liga M bagi memudahkan penyertaannya ke kem latihan skuad Harimau Malaya.

Ini kerana Malaysia, yang berada dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, masih mempunyai empat baki perlawanan penting termasuk aksi timbal balik menentang Vietnam pada 31 Mac 2026.

Selain itu, skuad kendalian Peter Cklamovski turut dijadualkan berdepan Laos pada 9 Oktober 2025 dan aksi timbal balik pada 14 Oktober 2025, diikuti perlawanan menentang Nepal pada 18 November 2025.

Bermain dalam Liga Malaysia memudahkan Irazabal untuk menyertai kem Harimau Malaya. — Malaysia NT

Kekal bermain di Liga M memberi kelebihan dari segi jarak, sekali gus membolehkan Irazabal melapor diri ke kem kebangsaan tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.

Keadaan ini bukan sahaja memudahkan urusan penyertaan, malah memberinya masa rehat yang mencukupi untuk menampilkan prestasi terbaik bersama rakan sepasukan di peringkat antarabangsa.

3. Peluang cipta keserasian bersama Dominic Tan 

Selain kelebihan dari segi jarak untuk menyertai kem latihan Harimau Malaya, penyertaan Irazabal ke Sabah FC turut membuka peluang untuk membina keserasian bersama pertahanan kebangsaan, Dominic Tan.

Dominic merupakan nama yang tidak asing dalam kalangan penyokong Harimau Malaya, memandangkan dia sering menjadi pilihan utama di barisan pertahanan skuad kebangsaan.

Penyertaan Irazabal ke Sabah FC membuka peluang untuk membentuk keserasian dengan Dominic Tan. — Malaysia NT

Dengan Irazabal dan Dominic kini beraksi dalam kelab yang sama, ia pasti memudahkan proses membentuk persefahaman di peringkat kelab, sesuatu yang boleh diterjemahkan ke dalam permainan skuad kebangsaan.

Keserasian yang terjalin di Sabah FC membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan lebih cepat sekiranya diturunkan bersama dalam kesebelasan utama Harimau Malaya kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram