KEPUTUSAN seri dicatatkan ketika Harimau Malaya menerima kunjungan Singapura dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala AFF 2024 menyaksikan pasukan negara gagal meloloskan diri ke pusingan seterusnya.
Ini kerana selepas empat perlawanan, skuad kebangsaan hanya berada di kedudukan ketiga sementara slot ke peringkat kalah mati dimiliki skuad The Lions dan juara kumpulan, Thailand.
Meskipun kecewa akan kegagalan tersebut, penyokong negara masih belum menarik nafas lega kerana persembahan anak-anak buah Pau Marti Vicente di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur memuaskan.
BACA LAGI: 'Harap musim depan Safuwan jadi striker', fans Selangor FC penat aksi longlai pemain import
Safuwan menjadi nadi Singapura ketika mereka bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil. — FAS
Selain itu, pertembungan tersebut menyaksikan beberapa peluang dicipta kerana berdasarkan statistik, Harimau Malaya melakukan 20 percubaan, namun kesemuanya gagal menewaskan Izwan Mahbud.
Antara peluang terbaik hadir ketika separuh masa kedua apabila bek tengah, Harith Haiqal melakukan tandukan tepat ke arah gawang Singapura selepas dia menerima hantaran Jimmy Raymond.
Namun, percubaannya itu gagal membuahkan hasil selepas kapten pasukan pelawat, Safuwan Baharudin berada di kedudukan baik untuk memastikan bola tidak menerjah masuk.
Situasi tersebut sememangnya menarik untuk disaksikan kerana kedua-dua pemain berkenaan kini beraksi di Selangor FC dengan kedua-duanya kerap beraksi bersama-sama di atas padang.
Malah, Safuwan juga berasakan momen itu sesuatu yang menarik baginya kerana dia sempat meninggalkan mesej mencuit hati di laman Instagram peribadinya berserta video percubaan Harith Haiqal.
"Ketika sesi latihan mungkin, tetapi tidak semalam (Jumaat) sahabatku," tulis kapten skuad Gergasi Merah itu.
Usikan sedemikian sememangnya mencetuskan gelak tawa dalam skuad Gergasi Merah dengan beberapa pemain seperti Mukhairi Ajmal, Khairulazhan Khalid serta Syahir Bashah meninggalkan komen.
Berdasarkan rekod di laman sesawang transfermarkt, Safuwan dan Harith Haiqal pernah diturunkan bersama-sama sebanyak 25 kali, namun terdapat kemungkinan catatan itu lebih baik memandangkan terdapatnya isu maklumat yang terhad.
Gandingan kedua-dua mereka boleh dianggap sebagai kunci di sebalik rekod pertahanan baik Selangor FC dalam Liga Super 2024/25 kerana mereka baru sahaja dibolosi 13 kali dalam 16 perlawanan.
Hubungan pasangan bek tengah Selangor FC itu dijangka tidak terkesan dengan Safuwan masih memiliki tugas penting buat negaranya dalam kempen Piala AFF kerana mereka akan berdepan Vietnam atau Indonesia selepas ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram