
SRI PAHANG FC berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk musim depan meskipun kempen 2024/2025 mereka diuji dengan masalah dalaman seperti isu kewangan yang melarat.
Kehilangan skuad Tok Gajah daripada Liga Super juga diyakini selepas pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah sebelum ini berkongsi bahawa beliau mahu mengundur diri daripada menguruskan kelab Pantai Timur berkenaan.
Selepas harapan kembali menyinari pasukan berkenaan, tonggak Sri Pahang iaitu Sean Selvaraj tampil bersuara mengenai situasi semasa kelab berkenaan sama ada akan terus bermain dalam saingan domestik atau sebaliknya.
"Kemungkinan besar mereka akan ditutup. Apa yang saya dengar tiada lagi pemilik baru. Kebanyakan pemain Pahang sudah menandatangani pasukan lain. Jadi, saya tidak melihat masa depan mereka akan kekal.
"Untuk saya sendiri, saya sedang berbincang dengan beberapa jurulatih dan pengurusan untuk bermain dengan mereka. Tetapi belum kukuh lagi dan belum menandatangani pasukan lain. Tetapi, Sean masih menunggu panggilan untuk kekal di Liga Super. Keutamaan saya untuk kekal di Liga Super.
"Sean masih mempunyai banyak perkara untuk dibuktikan di Liga Super. Jadi, saya harap sebelum Liga Super bermula, saya akan bersama dengan satu pasukan yang akan memberi Sean peluang untuk menunjukkan bakat Sean," katanya kepada Majoriti.
Ditanya mengenai hala tuju seterusnya, penyerang sayap berusia 29 tahun berkenaan sedang berhubung dengan beberapa pihak dan tidak menolak kemungkinan akan bermain untuk kekal di Pantai Timur.
Sean ditemui selepas sidang media perlawanan bola sepak tujuh sebelah Zurich Liga 7x7 All Stars 2025 di sebuah hotel di ibu kota pada Khamis. Perlawanan itu berlaku di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur pada 19 Julai 2025.
Dalam pada itu, meskipun hanya semusim bersama Sri Pahang, Sean menyifatkan musim tersebut sebagai antara yang paling panjang dan mencabar dalam kariernya tetapi juga memberikan banyak kenangan manis buat dirinya serta rakan sepasukan.
"Untuk mendengar bos kami cakap yang beliau tidak mahu membawa lagi, sangat sedih sebab saya rasa beliau seorang bos yang sudah lama bersama dengan Pahang. Sangat sedih untuk mendengar satu pasukan gegasi macam itu keluar daripada Liga.
"Perkara ini satu eye-opener untuk semua orang. Pemain perlu macam memberi performance yang lebih baik dalam liga. Pemain sepak bola tidak boleh berada selesa kerana bila-bila masa, kerjaya ini boleh berakhir. Kita perlu menikmatinya dan menunjukkan diri kita.
"Semusim bersama Pahang, perjalanan kami ke final Piala Malaysia memang sukar sebab, dengan pasukan-pasukan yang kami lawan seperti Selangor, Sabah, Perak. Mereka memang kuat. Dalam liga, mereka memang kalahkan kita.
"Dengan itu, kami tahu kita punya lorong nak pergi ke pelawan akhir itu memang sukar. Tetapi, kami masih dapat pergi ke final," tambahnya yang gembira membantu Tok Gajah menjadi naib juara Piala Malaysia 2025.
Menurut pemain berketinggian 1.81 meter itu, walaupun isu kewangan menjadi antara punca utama masalah di Sri Pahang, beliau bersyukur kerana semua tunggakan gaji pemain telah diselesaikan lebih awal tahun ini.
"Semua hutang yang tertunggak dari tahun lepas sudah diselesaikan sekitar bulan Februari atau Mac. Jadi, ia satu perkara yang baik sebelum kelab ditutup," jelasnya yang pernah beraksi bersama Selangor FC dan Negeri Sembilan FC sebelum ini.
Untuk info, Sean yang mampu beraksi sebagai penyerang tengah dan pemain sayap itu tampil dalam 20 perlawanan untuk Sri Pahang dengan dia membantu mencetak satu gol ketika saingan Piala Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram