Lupakan EPL, Kogi kongsi jadual Liga Korea, sepatutnya wajar jadi contoh MFL


  • Podium
  • Khamis, 19 Jun 2025

Kogileswaran menekankan bahawa kepentingan sikap profesional dalam kalangan pemain meskipun sehingga kini jadual rasmi liga domestik belum diumumkan. — Instagram/Kogileswaran Raj

TIDAK sampai dua bulan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/2025 melabuhkan tirainya, jadual penuh perlawanan untuk kempen 2025/2026 sudah diumumkan pada Rabu dengan ia semestinya amat dinanti-nantikan peminat bola sepak di seluruh dunia.

Ia membuktikan pihak pengurusan badan pengelola Inggeris itu efisien dalam melakukan jadual penuh liga bagi memberi peluang kepada pasukan EPL melakukan lebih banyak persiapan sebelum musim bermula. 

Persediaan lebih awal itu membuatkan para penyokong bola sepak domestik juga berharap agar Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) juga menyediakan jadual penuh perlawanan bagi memudahkan pasukan dan penyokong. 

BACA LAGI: Dari Korea Selatan, bekas bintang Penang, Pahang kini hanya beraksi di liga amatur Selangor

BACA LAGI: Kurang minit permainan di Korea, 4 destinasi domestik terbaik buat Kogileswaran kembali temui sentuhan sebenar

Bagi pemain Harimau Malaya, Kogileswaran Raj menekankan bahawa kepentingan sikap profesional dalam kalangan pemain bola sepak tempatan meskipun sehingga kini jadual rasmi liga domestik belum diumumkan.

Kogileswaran atau mesra dengan sapaan Kogi berkata, pemain tidak seharusnya terlalu bergantung kepada jadual untuk memulakan persiapan menghadapi musim baharu, sebaliknya perlu sentiasa bersedia dari segi fizikal dan mental.

"Betul memang jadual belum keluar. Sebagai pemain, kita tak boleh bergantung kepada jadual. Tetapi sebagai pemain, kita perlu profesional dengan lebih banyak berlatih dan menjaga kualiti diri sendiri. 

"Apabila liga bermula, saya rasa pemain perlu berada dalam keadaan baik. Saya tak pasti, mungkin MFL masih ada banyak masalah. Saya berharap MFL akan mengeluarkan segera jadual perlawanan," katanya kepada Majoriti. 

Bekas pemain Penang FC itu ditemui selepas sidang media perlawanan bola sepak tujuh sebelah Zurich Liga 7x7 All Stars 2025 yang akan berlangsung pada 19 Julai 2025 bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis. 

Dalam pada itu, mengimbas pengalamannya beraksi di Korea Selatan, Kogileswaran berkongsi bahawa jadual liga di sana sudah diumumkan seawal dua bulan sebelum musim bermula, ia sesuatu yang menurutnya wajar dicontohi oleh penganjur liga tempatan.

Bagaimanapun, Kogileswaran mengakui bahawa penyusunan jadual bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan pelbagai faktor perlu dipertimbangkan termasuk kalendar FIFA, Piala Malaysia, dan Piala FA.

"Di Korea, bila saya sampai, dua bulan sebelum liga di sana bermula, saya rasa jadual sudah keluar untuk satu musim. Untuk buat jadual memang bukan senang. 

"Sebab kita kena ambil kira daripada FIFA kalender, Malaysia Cup, FA Cup. Ada pasukan daripada Liga A1 juga akan bertanding di Piala Malaysia dan Piala FA nanti. Jadi saya rasa ini akan ambil masa untuk selesaikan jadual yang penting," katanya.

Kogileswaran hanya mencatatkan satu penampilan sepanjang kira-kira setengah tahun di Korea Selatan. — Instagram/Kogileswaran Raj

Ketiadaan jadual rasmi ketika ini turut menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong dan kelab, yang pastinya mengharapkan kejelasan agar perancangan pramusim dapat dilaksanakan dengan lebih teratur. 

Untuk rekod, penyerang sayap berusia 26 tahun berkenaan pernah mengambil keputusan untuk berkelana ke Korea Selatan dan menyertai Chungbuk Cheongju di divisyen keempat.

Dia yang melakukan perpindahan itu pada 2023 gagal menikmati sebarang hasil kerana hanya sempat beraksi sebanyak sekali dalam skuad utama tanpa sebarang gol atau bantuan jaringan direkodkan.

Jadi, selepas kontraknya di negara Asia Barat itu berakhir, Kogileswaran memutuskan untuk kembali ke Liga Malaysia dan menyertai Penang FC pada jendela perpindahan kedua musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram