
MUSIM baharu Sepak Takraw League (STL) 2025 sudah bermula persaingan merebut meraih kejuaraan rancak diperjuangkan.
Namun begitu, terdapat cerita yang kurang enak didengar apabila sebuah pasukan didakwa berdepan kontroversi tidak membayar wang kemenangan kepada para pemain.
Pasukan dari Pantai Timur, Kelantan Warriors dikatakan tidak membayar wang kepada para pemain yang sudah membantu mereka mendapatkan gelaran Divisyen 1 STL pada 2024.
BACA LAGI: Ditunjukkan jalan keluar oleh JDT, Safiq Rahim boleh kembali tabur bakti bersama Selangor-Melaka
Menurut salah seorang pemain pasukan itu pada musim lalu iaitu Fakhrul Akmal, dia mahukan keadilan kerana pengurusan Kelantan Warriors tidak menunaikan janji.
"Saya nak minta pihak bertanggungjawab untuk selesaikan duit hadiah kami yang belum dapat lagi sampai ke hari ini. STL 2025 pun dah start. Dahh lama sangat kami tunggu duit kami.
"Duit hadiah sudah dimasukkan dalam akaun persatuan negeri dah masa STL Premier berjalan lagi pada tahun lepas. Bila orang dah bising pasal duit hadiah baru bagitahu nak bagi. Tapi sampai ke hari ini pun tak bagi-bagi lagi. Lepas tu boleh pulak cakap nak bagi saguhati dekat pemain-pemain STL 2024.
"Kami tak mahu sagu hati, kami nak duit hadiah kami. Saguhati erti kata lain dari bendahari (persatuan) sebagai "PEMBERIAN IHSAN" RM250 SEORANG dari RM12,000 jumlah duit kemenangan. Macam mana cerita ni?," kata Fakhrul menerusi akaun sosial medianya.
Fakhrul mendedahkan yang pengurus Kelantan Warriors musim lalu banyak mengeluarkan wangnya sendiri untuk menyelesaikan tunggakan elaun pemain. Malah, ada lagi elaun pemain yang tertunggak sehingga hari ini.
Tambahnya, pengurusan pasukan dikatakan berjanji untuk membayar RM1,000 kepada setiap tujuh pemain Kelantan Warriors selepas berjaya memenangi Divisyen 1.
"Boleh pulak cakap duit hadiah kami dimasukkan dalam bonus. Seorang pemain pun tak tahu yang duit kami dimasukkan dalam bonus. Bonus tu persatuan yang janji nak bagi sebab menang Divisyen 1. Pada hari menang bukan main lagi cakap yang duit hadiah menang ni semua untuk pemain, persatuan tak akan kacau duit ni," ujarnya.
Majoriti kini cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan pasukan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram