
GABUNGAN Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) tampil memberi penjelasan rasmi berhubung isu dakwaan wang hadiah kemenangan yang didakwa tidak diagihkan kepada para pemain dan kini tular di media sosial.
Menurut kenyataan Unit Undang-undang GASTAK pada Khamis, dakwaan tersebut berpunca daripada salah faham antara pihak pengurusan dan pemain.
Difahamkan, para pemain telah menerima bonus kemenangan yang turut merangkumi wang hadiah pada satu majlis yang diadakan pada 9 September 2024, sejurus tamat Liga Divisyen 1.
BACA LAGI: 'Kami mahu duit kami', pemain Kelantan Warriors tuntut tunai janji selepas menang STL Divisyen 1
BACA LAGI: Klinik STL terus cungkil bakat muda, pertama kali dianjurkan di Pahang
"Bayaran bonus sebanyak RM5,000 kepada setiap pemain ketika itu merangkumi wang kemenangan.
“Namun, kekeliruan timbul kerana tiada penjelasan terperinci mengenainya, walaupun ia telah dimaklumkan secara lisan kepada pemain terlibat," jelas kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Tambah kenyataan itu lagi, GASTAK sudah mendahulukan semua bayaran kepada pemain termasuk anugerah khas seperti Pemain Tekong Terbaik dan Apit Kanan Terbaik semasa Majlis Makan Malam tersebut, meskipun ketika itu wang kemenangan daripada pihak penganjur masih belum dikreditkan ke akaun rasmi mereka.
“Tindakan mendahulukan bayaran ini, yang berjumlah hampir RM40,000, dilakukan demi memastikan mentaliti pasukan kekal positif tanpa gangguan faktor luaran yang boleh menjejaskan kualiti permainan pemain.
“Wang kemenangan hanya dikreditkan kepada GASTAK pada awal Oktober 2024, setelah permohonan dibuat kepada pihak penganjur.
“Namun demikian, mengambil tanggungjawab penuh atas aduan dan salah faham tersebut, Mesyuarat Majlis Tertinggi GASTAK pada 18 Mei 2025 telah memutuskan untuk memberikan saguhati tambahan sebanyak RM500 kepada setiap pemain selepas Majlis Makan Malam Pengenalan Pemain KW STL 2025,” tambah kenyataan itu.
GASTAK turut menzahirkan rasa kesal terhadap tohmahan yang dilemparkan, memandangkan kebajikan pemain sentiasa menjadi keutamaan mereka.
Sepanjang kejohanan saingan Liga Sepak Takraw musim lalu, pemain dibayar gaji penuh termasuk elaun, penginapan, pengangkutan dan makanan bagi setiap sirkit pertandingan.
Menjawab kenyataan di media sosial oleh seorang pemain, Fakhrul Akmal, GASTAK menjelaskan bahawa jumlah keseluruhan yang diterima beliau sepanjang enam minggu kejohanan adalah RM11,000.
Ia termasuk gaji asas, bonus Division 1 sebanyak RM5,000, bahagian hadiah kemenangan RM1,000, dan imbuhan komitmen RM2,500. Ia tidak termasuk tuntutan lain seperti elaun luar, cuti tanpa gaji dan kos perjalanan.
“Bayaran bonus kemenangan lain tidak termasuk dalam jumlah di atas sepertimana Klausa 3.6 pada Perjanjian GASTAK dan Pemain ‘Bonus adalah berdasarkan budi bicara pihak pengurusan dan tidak dianggap sebagai hak automatik’,
“Sekiranya terdapat lagi salah faham atau ulasan yang tidak tepat berkaitan isu ini, pihak kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya ke atas mana-mana pihak yang terbabit.
“Setiap pemain telah diberikan kontrak yang lengkap dan sebarang pertikaian hendaklah berdasarkan perjanjian yang ditandatangani,” ujar GASTAK.
Sebelum ini, salah seorang pemain pasukan itu pada musim lalu iaitu Fakhrul mahukan keadilan kerana pengurusan Kelantan Warriors didakwa tidak menunaikan janji.
Fakhrul mendakwa, pengurus Kelantan Warriors musim lalu banyak mengeluarkan wangnya sendiri untuk menyelesaikan tunggakan elaun pemain. Malah dakwanya, ada lagi elaun pemain yang tertunggak sehingga hari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram