
KELAB gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan sudah melepaskan 11 pemain mereka yang merangkumi tujuh pemain import dan empat pemain tempatan menjelang kempen Liga Malaysia (Liga M) 2025/2025.
Di antara pemain yang meninggalkan JDT, terdapat dua penjaga gol senior dan berpengalaman iaitu Farizal Marlias dan Izham Tarmizi. Selain itu, Safiq Rahim iaitu tonggak tengah yang sudah berkhidmat bersama JDT sejak tahun 2013 turut meninggalkan pasukan.
Selain itu, tujuh pemain import turut mengakhiri penglibatan mereka bersama JDT termasuk Jordi Amat, Jese Rodriguez, Murillo Henrique, Jonathan Viera, Alvaro Gonzalez, Roque Mesa, dan Anselmo de Moraes.
BACA LAGI: ‘Dua tahun dipinjamkan JDT, harap Azam Azmi tak patah semangat’
Seorang lagi pemain yang turut pergi adalah Ramadhan Saifullah, yang baru-baru ini telah melengkapkan perpindahan tetap ke Kuching City dan menjadikannya pemain ke-11 meninggalkan skuad Harimau Selatan.
Meskipun sudah melepaskan 11 pemain, Harimau Selatan masih mempunyai lambakan pemain berkualiti dengan ada di antara mereka sudah dipinjamkan ke pasukan pesaing demi memburu minit permainan.
Antara yang sudah disahkan ialah bek kanan muda, Azam Azmi Murad apabila pemain itu difahamkan akan bermain untuk Terengganu FC (TFC) dengan status pinjaman untuk membantu pertahanan Sang Penyu pada musim baharu ini.
Ini adalah tahun kedua Sang Penyu mendapatkan khidmat Azam Azmi secara pinjaman apabila pada kempen 2024/2025 menyaksikan Terengganu melakukan perkara sama. Bek kanan itu sah menandatangani kontrak bersama JDT pada awal tahun lepas
Selain Azam Azmi, terdapat tiga lagi pemain Harimau Selatan berkemungkinan akan dipinjamkan bersama pasukan lain pada musim depan.
1) Manuel Hidalgo
Hidalgo dikaitkan akan berkelana ke skuad Warga Kota. — Facebook/SriPahang
Penyerang sayap skuad Harimau Selatan, Manuel Hidalgo, dikhabarkan bakal menyertai Kuala Lumpur (KL) City FC sebagai pemain pinjaman untuk memperkuatkan barisan serangan kelab dari Lembah Klang itu.
Menurut pemerhati bola sepak tanah air, T. Avineshwaran berkongsi bahawa pemain kelahiran Argentina ini sedang menjadi sasaran utama skuad Warga Kota untuk dipinjamkan bagi musim 2025/2026.
Namun begitu, perpindahan secara pinjaman tersebut masih belum mendapat pengesahan rasmi daripada pengurusan The City Boys mahupun kelab asal Hidalgo, JDT. Isu itu masih menjadi buah mulut dan perbincangan hangat dalam kalangan penyokong.
Jika perpindahan itu benar-benar berlaku, ia akan menjadi kali kedua Hidalgo beraksi dengan status pemain pinjaman, selepas sebelum ini beliau pernah dipinjamkan ke Sri Pahang untuk kempen 2024/2025.
Dengan kehadiran penyerang sayap seperti Arif Aiman Hanapi, Samu Castillejo, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh, mustahil untuk menyaksikan Hidalgo mendapat minit permainan yang konsisten jika terus di JDT.
2) Endrick Dos Santos
Endrick merupakan tonggak Ho Chi Minh City FC pada musim ini. — Agensi
Pemain tengah naturalisasi, Endrick dos Santos juga mungkin akan dipinjamkan ke pasukan lain pada musim depan lagi-lagi selepas khabar angin mendakwa tonggak kelahiran Brazil itu difahamkan menarik minat DPMM FC.
Endrick yang menyertai Harimau Selatan pada awal kempen 2023 banyak menghabiskan masa di luar negara dengan dia beraksi bersama Ho Chi Minh City dekat Vietnam secara pinjaman untuk musim 2024/2025.
Bersama kelab itu, pemain tengah Harimau Malaya berkenaan merekodkan 23 penampilan sambil menyumbang dua gol dan lima bantuan gol selain menjadi watak penting pasukan dengan membantu Ho Chi Minh menghuni kedudukan ke-10 liga.
Tidak dinafikan, Endrick masih mampu memberikan prestasi yang mantap tetapi dia perlu berhati-hati dengan kemunculan pemain baharu seperti Ibrahim Manusi agar tidak terpinggir daripada skuad JDT.
Jika Endrick risau tentang kekurangan minit permainan yang boleh menjejaskan peluangnya dipanggil ke skuad kebangsaan, DPMM FC mungkin menjadi pilihan tepat untuknya terus menunjukkan bakat dalam Liga Super.
3) Adik beradik Lambert
Pasangan Lambert antara adik-beradik yang beraksi bersama di Liga Super. — Agensi
Adik beradik kembar berdarah kacukan Malaysia-Australia, Ryan Lambert dan Declan Lambert sah menjadi milik JDT pada awal musim lepas namun masih belum menyarung jersi Harimau Selatan secara rasmi.
Hal ini kerana, khidmat dua pemain itu masih digunakan skuad Warga Kota secara pinjaman dengan kedua-duanya juga menjadi watak penting dalam membantu kelab tersebut menghuni kedudukan keenam Liga Super.
Kedua-dua pemain tersebut mempunyai potensi yang baik, namun dengan kehadiran ramai pemain berkualiti di kem Harimau Selatan membuatkan masa permainan mereka mungkin terhad jika kekal bersama kelab.
Oleh itu, pinjaman ke kelab lain seperti terus bersama skuad The City Boys boleh menjadi jalan terbaik untuk adik-beradik berkenaan mengasah kemahiran serta mengekalkan prestasi di tahap optimum.
Sekiranya pinjaman itu menjadi kenyataan, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada Declan dan Ryan dari segi pengalaman dan pendedahan, malah turut membantu kelab memantau perkembangan mereka dengan lebih dekat sebelum membuat keputusan jangka panjang mengenai masa depan kedua-duanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram