
PENYERANG sayap Harimau Malaya, Akhyar Rashid dilaporkan 'naik angin' terhadap seorang penyokong bola sepak tanah air selepas individu berkenaan menegurnya untuk terus menjaga kualitinya jika terus mahu menyarung jersi Malaysia.
Menerusi ruangan komen di Instagram Akhyar, penyokong dengan nama akaun emierdanish02 berkenaan menulis 'gambar bukan kaleng-kaleng. Kalau tidak boleh pertahankan tempat di skuad Harimau Malaya, ucap selamat tinggal kepada panggilan pasukan kebangsaan'.
Komen tersebut ditulis pada hantaran terbaharu Instagram pemain Terengganu FC (TFC) itu, yang menyaksikan Akhyar berkongsi foto menghadiri acara fesyen bersama isterinya iaitu Eyka Farhana atau nama sebenarnya, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi.
BACA LAGI: Bintang Sabah antara 3 alternatif DPMM FC lepas gagal sambar Akhyar Rashid
BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami saling mempercayai', Eyka Farhana tenang hadapi perkahwinan jarak jauh
"Gambar bola kau kacau. Gambar ini kau kacau, hidup kau sempit ke?
"Kau kenapa ini Harry? Kalau kau tak okey saja, aku ada patahkan spek kau ke?," balas Akhyar kepada pengguna Instagram itu.
Tidak berdiam diri dengan respons daripada Akhyar, penyokong itu memberitahu bahawa dia tidak mempunyai niat untuk mengkritiknya, tetapi sekadar mengingatkan bahawa kehadiran pemain-pemain warisan boleh mencabar posisi bekas pemain Johor Darul Ta'zim tersebut.
Tangkap layar Akhyar berbalas komen dengan penyokong itu.
Untuk rekod, Akhyar tidak mendapat panggilan skuad kebangsaan pada aksi menentang Vietnam bagi aksi Kumpulan F dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 10 Jun lepas.
Kem Harimau Malaya pada Jun lepas menyaksikan lima lagi pemain warisan iaitu Facundo Garces, Jon Irazabal (bek tengah), Imanol Machuca (pemain sayap) dan dua penyerang; Joao Figueiredo serta Rodrigo Holgado diberi peluang.
Dua daripada lima pemain itu, Figueiredo dan Holgado masing-masing menyumbangkan satu gol dalam Malaysia menamatkan badi 11 tahun kepada Vietnam. Dua lagi gol dicetak oleh Corbin-Ong dan Dion Cools.
Setakat berita ini ditulis, Akhyar mahupun penyokong itu masih belum memadam komen berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram