
MANCHESTER UNITED dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemain tengah Nice, Hicham Boudaoui yang dinilai sekitar £20 juta (RM120 juta), namun sebarang rundingan hanya boleh dimuktamadkan pada hari terakhir jendela perpindahan, 1 September.
Minat Man United terhadap pemain antarabangsa Algeria itu muncul di tengah-tengah usaha kelab untuk membina semula skuad selepas melalui musim terburuk mereka dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).
Antara fokus utama kelab itu adalah memperbaiki jentera serangan dengan setakat ini, menyaksikan Man United telah mendapatkan Matheus Cunha dari Wolves dengan nilai perpindahan £62.5 juta (RM375 juta).
BACA LAGI: Cecah RM362 juta, Garnacho dilepaskan Man United bakal pilih reunion bersama ETH atau sertai Chelsea
Selain itu, usaha sedang dijalankan untuk mendapatkan pemain Brentford, Bryan Mbeumo, namun The Red Devils berdepan saingan daripada Tottenham Hotspur serta turut berminat terhadap penyerang muda, Hugo Ekitike.
Boudaoui dilihat sebagai calon sesuai mengisi posisi pemain tengah bertahan susulan prestasi Manuel Ugarte yang mengecewakan dan keputusan untuk meletakkan Casemiro dalam senarai pemain untuk dijual.
Menurut laporan The Sun, pihak pencari bakat Man United sudah menghantar wakil untuk memantau aksi Boudaoui ketika tugasan antarabangsa menentang Sweden minggu lalu, dengan pemain berusia 25 tahun itu menunjukkan prestasi cemerlang meskipun Algeria tewas 3-4.
Pengurus Man United, Ruben Amorim. — Agensi
Boudaoui yang telah beraksi bersama Nice sejak 2019, menampilkan aksi konsisten dalam Ligue 1 musim lalu dan memiliki ciri fizikal serta gaya permainan yang menepati kehendak Amorim. Nilai pasarannya ketika ini sekitar RM120 juta dan kontraknya bersama Nice hanya berbaki dua tahun.
Bagaimanapun, pemindahan berkenaan tidak dapat direalisasikan dalam masa terdekat berikutan pemilikan bersama Man United dan Nice oleh Sir Jim Ratcliffe dan syarikat INEOS.
Bagi memenuhi syarat UEFA yang membimbangi isu pemilikan berbilang kelab yang bertanding dalam kejohanan Eropah, kedua-dua kelab telah bersetuju untuk tidak melakukan sebarang urusan perpindahan pemain antara satu sama lain sehingga 1 September.
Ratcliffe memiliki Man United dan Nice. — Agensi
Jendela perpindahan di England dan Perancis akan ditutup pada hari tersebut, tepat pukul 7 malam waktu United Kingdom (2 pagi waktu Malaysia).
Walaupun Boudaoui dianggap sebagai pilihan lebih murah berbanding sasaran lain, Man United masih perlu menjana dana tambahan melalui penjualan beberapa pemain sedia ada. Antara yang dikaitkan dengan perpindahan keluar ialah Marcus Rashford, Antony, Jadon Sancho dan Alejandro Garnacho. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram