Lawan jadi kawan, Terengganu, Selangor, JDT wajar sambar 'mimpi ngeri' masing-masing di pentas Asia


  • Podium
  • Sabtu, 14 Jun 2025

Dari kiri: Terengganu, JDT dan Selangor akan membawa masuk lebih ramai pemain baharu bagi kempen akan datang.

MENJELANG jendela perpindahan Liga Super yang akan dibuka tidak lama lagi, pelbagai khabar angin mula membanjiri media sosial dengan setiap pasukan bersedia memperkuatkan pasukan.

Walaupun isu kewangan dan pengurusan masih membelenggu majoriti kelab tempatan, masih terdapat segelintir lain yang mempunyai dana mencukupi untuk membuat rombakan.

Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC pastinya bercita-cita besar selepas kedua-duanya menempah tiket ke pentas Asia musim depan yang akan menyajikan cabaran lebih hebat.

BACA LAGI: [VIDEO] Malaysia boleh ikut cara Uzbek jika layak ke Piala Asia

BACA LAGI: 'Revolusi Harimau Malaya, sasaran jadi muka tetap Piala Asia kini realistik'

Terengganu FC yang hanya berada di tangga kelima Liga Super 2024/25 juga dijangka berbuat demikian dengan suntikan dana kerajaan negeri boleh membawa perubahan terhadap nasib pasukan.

Malah, ketiga-tiga pasukan itu tidak perlu runsing untuk mengenal pasti siapakah calon terbaik untuk disambar kerana pengalaman musim lalu di pentas Asia mendedahkan mereka terhadap bintang relevan bagi dibawa masuk.

Lebih menarik lagi, terdapat khabar angin mengaitkan kelab berkenaan dengan pemain lawan yang pernah mencetak jaringan ketika mereka bertemu dalam kejohanan masing-masing pada kempen lalu.

1. Jasir Asani (JDT)

Skuad Harimau Selatan terus dikaitkan dengan beberapa penyerang baharu untuk kempen akan datang meskipun masih memiliki lambakan pilihan termasuk Jorge Obregon dan Bergson da Silva.

Hasrat itu dinyatakan kerana juara Liga Super 11 kali berturut-turut tersebut bercita-cita besar untuk memberi saingan dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite selepas hanya menamatkan saingan di pusingan 16 pasukan terbaik sebelum ini.

Antara nama yang hangat dikaitkan dengan JDT sudah tentu penyerang antarabangsa Albania, Jasir Asani yang pernah mencetak gol ketika berdepan wakil tunggal negara itu.

Jasir Asani (kanan) sudah lama dikaitkan dengan perpindahan ke skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Dia yang beraksi di Korea Selatan buat Gwangju FC menjadi watak penting dengan menjaringkan dua gol ketika pasukannya mudah menundukkan skuad Harimau Selatan dalam peringkat kumpulan ACL Elite musim lalu.

Menyedari kebolehannya daripada pertembungan tersebut, JDT dilaporkan bersedia menyambar khidmatnya dengan penyerang berusia 30 tahun itu juga tertarik dengan prospek tersebut.

Ini kerana dia sudah mengikuti Tengku Ibrahim Sultan Ismail di laman Instagram selain pernah dikesan mengenakan jersi skuad Harimau Selatan ketika sesi latihan peribadi.

2. Gabriel Silva (Terengganu FC)

Terengganu FC menikmati tempoh agak baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila berjaya melayakkan diri ke pentas Asia buat dua musim berturut-turut, termasuk saingan Piala Shopee 2024/25.

Peluang tersebut menyaksikan pasukan Pantai Timur terbabit berpeluang berdepan pasukan cemerlang sekitar Asia Tenggara, termasuk PKR Svay Rieng dari Kemboja di peringkat kumpulan.

Media Kemboja mendedahkan Gabriel Silba akan menyertai skuad Sang Penyu. Facebook/Svay Rieng

Dalam perlawanan berkenaan, skuad Sang Penyu mengalami kekalahan tipis 2-3 dalam aksi yang berlangsung di tempat sendiri dengan salah satu gol dicetak pemain sayap lawan, Gabriel Silva.

Kehebatan ditonjolkan penyerang dari Brazil itu membuatkan Terengganu FC teruja dengan kebolehannya, sekali gus menimbulkan kemungkinan dia akan menyertai skuad Sang Penyu bagi kempen akan datang.

Perpindahan berkenaan pasti memberi impak positif buat kedua-dua pihak kerana kelab tersebut mahu mendapatkan pengganti kepada Safawi Rasid sementara Gabriel Silva berpeluang menonjolkan bakatnya dalam liga lebih kompetitif.

3. Tiago Orobo (Selangor FC)

Kempen skuad Gergasi Merah dalam ACL Two musim lalu adalah sedikit mengecewakan apabila pasukan tersebut gagal lolos ke pusingan kalah mati selepas hanya menamatkan saingan di kedudukan ketiga kumpulan.

Jadi, untuk mengubah situasi itu, Selangor FC bersedia membuat rombakan, namun mereka lebih berwaspada dalam memastikan rekrut bakal dibawa masuk tidak berakhir dengan pembaziran.

Tiago Orobo boleh menjadi peledak baharu skuad Gergasi Merah bagi kempen akan datang. Agensi

Sekiranya mereka mahu membawa masuk penyerang baharu, tonggak Jeonbuk Hyundai Motors, Tiago Orobo merupakan antara pilihan terbaik yang boleh disambar.

Penyerang kelahiran Brazil itu mempunyai pengalaman baik dengan skuad Gergasi Merah kerana pernah meledak ketika kedua-dua pasukan bertemu di peringkat kumpulan ACL Two di Korea Selatan.

Kejayaan Selangor FC melayakkan diri ke kejohanan tersebut sudah tentu akan menarik pemain berusia 31 tahun itu ke Lembah Klang meskipun dia terpaksa meninggalkan Jeonbuk Hyundai Motors. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram