'Ubi warisan' terus kekal di Eropah, cerahkan potensi selit ke skuad Harimau Muda


  • Podium
  • Rabu, 18 Jun 2025

Richard Chin merupakan pemain Malaysia pertama beraksi untuk Raith Rovers.

PEMAIN warisan negara, Richard Chin meneruskan kariernya di Eropah selepas dia berpisah dengan kelab England, Farnborough yang beraksi dalam liga diviysen enam negara itu.

Richard pada Rabu diperkenalkan sebagai pemain baharu kelab Scotland, Raith Rovers yang beraksi dalam Liga Kejuaraan Scotland (Scottish Championship).

Liga tersebut merupakan pertandingan divisyen dua di Scotland dengan Raith merupakan sebahagian daripada pencabar untuk mara ke Liga Perdana Scotland (Scottish Premiership).

BACA LAGI: Tolak peluang bersama JDT-Selangor, Richard Chin lebih sanggup beraksi bersama kelab bawahan England

BACA LAGI: Harumkan nama Malaysia, Richard Chin diumum pemain muda terbaik di National League South

Richard merupakan rekrut keempat kelab tersebut selepas mereka mendapatkan Jai Rowe, Aidan Glavin dan Josh Rae. Sebagai rekod, Richard merupakan pemain Malaysia pertama beraksi untuk kelab itu.

Keputusan Richard untuk terus kekal di United Kingdom melihatkan misi dalam mengembangkan kariernya sekali gus mengetuk pintu skuad kebangsaan.

Dengan revolusi Harimau Malaya sedang giat dijalankan, tidak mustahil perpindahan Richard ke Raith akan meletakkan dirinya dalam pantauan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dipanggil.

Dengan usianya 22 tahun, Richard masih berpeluang untuk berbakti kepada skuad bawah 23 tahun negara dengan pasukan kendalian Nafuzi Zain itu ada dua misi besar tahun ini.

Dua misi tersebut adalah Piala Asean B-23 pada Julai dan kelayakan Piala Asia B-23, September depan.

Kehadiran Richard ke Raith berjaya mencuri perhatian penyokong di sana dengan mereka menganggap pemain itu akan menjadi aset utama kelab.

"Ancaman serius buat pasukan lawan. Tunggulah nanti, dia adalah pemain yang cukup bahaya," kata Jack Ramsay.

"Seorang pemain berkualiti. Dia akan menjadi aset besar (buat kelab)," ujar Rob Stark.

Richard berjaya mencuri perhatian penyokong Raith, diharap selepas ini dia mampu membuatkan Nafuzi meletakkan namanya dalam senarai skuad Harimau Muda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram