Harumkan nama Malaysia, Richard Chin diumum pemain muda terbaik di National League South


  • Podium
  • Jumaat, 10 Jan 2025

Richard pemain muda terbaik dalam National League South musim ini. — Instagram/RichardChin

LAMA tidak kedengaran khabar pemain warisan, Richard Chin yang kini sedang beraksi dalam saingan semi pro England, National League South dengan menyarung jersi Farnborough FC pada Ogos 2024.

Sejak lima bulan bersama Farnborough, siapa sangka pemain warisan England-Malaysia berkenaan berhasil mencipta namanya selepas mempamerkan aksi terbaik bersama pasukan di divisyen keenam.

Pemain berusia 22 tahun berkenaan telah disenaraikan sebagai salah seorang pemain muda untuk diperhatikan bagi saingan National League South di England.

BACA LAGI: Bergambar bersama Jalur Gemilang, Richard Chin tunggu masa sarung jersi Harimau Malaya

BACA LAGI: Kehadiran Richard bawa persaingan sihat, undang pujian rakan sepasukan HM

Menerusi satu hantaran dimuat naik oleh laman penyokong, Non League Gems, nama Richard menjadi perhatian selepas menyumbangkan sejumlah 10 jaringan gol dan bantuan gol dalam 21 penampilan.

“Salah seorang pemain muda terbaik dalam National League South musim ini ialah pemain Farnborough, Richard Chin.

“Pemain remaja antarabangsa Malaysia berusia 22 tahun itu mempunyai 10 gol berserta assist dalam hanya 21 penampilan liga dan sebelum ini berpengalaman bermain untuk Charlton Athletic,” umum Non League Gems di laman Instagram.

Sumbangan yang diberikan oleh bekas pemain Charlton Athletic itu berhasil membantu Farnborough menduduki tangga ke-10 bagi kumpulan selatan. Setakat ini, Richard sudah mengumpul 1, 570 minit permainan.

Pencapaian itu sebenarnya membuka peluang untuk Richard kembali mendapat tawaran dari kelab-kelab England atau mungkin pasaran Eropah bagi mengembangkan kariernya dalam bola sepak.

Sekiranya rezeki Richard untuk terus beraksi di England, penyokong tidak akan berkesempatan untuk menyaksikan dia beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dalam masa terdekat.

Antara kelab yang pernah dikaitkan dengannya ialah Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC dengan kedua-dua mereka tentu tidak berdepan sebarang masalah untuk menanggung permintaan gajinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram