
PEMAIN baharu Cerezo Osaka, Dion Cools bersedia untuk memberikan yang terbaik dalam misinya menawan liga terulung Asia, J.League.
Cools yang sebelum ini bermain untuk Buriram United di Thailand, menjadi pemain Malaysia pertama beraksi divisyen pertama Jepun iaitu J1 League selepas nama-nama seperti Hadi Fayyadh, Luqman Hakim dan Wan Zack Haikal pernah beraksi di liga bawahan negara tersebut.
Beraksi di liga terbaik Asia, Cools mengakui terdapat banyak perbezaan jika hendak dibandingkan dengan bola sepak Asia Tenggara.
BACA LAGI: Aguero, tonggak Sabah-Penang antara pemain 'nakal' paling banyak dilayangkan kad kuning
BACA LAGI: Sang Kenari lengkapi kriteria Liga A1, apa cerita Lang Merah?
Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat Cools untuk memberikan yang terbaik sekali gus merebut tempatnya dalam skuad Cerezo.
"Liga Jepun adalah liga terbesar di Asia Timur. Ia adalah permainan yang amat berbeza jika hendak dibandingkan dengan Asia Tenggara. Kelajuannya, kualitinya, semua di tahap berbeza. Saya tidak sabah untuk beraksi dengan Cerezo Osaka," ujarnya.
Pemain pertahanan Harimau Malaya itu yang pernah beraksi dalam saingan besar seperti Liga Juara-Juara UEFA di Eropah menganggap saingan domestik Jepun sesuai dengan corak permainannya.
Menurutnya, corak permainan pantas dan menyerang secara tersusun yang di Jepun begitu sesuai dengan gaya Cools bermain.
"Cerezo adalah pasukan yang bagus dan saya teruja untuk menyertai projek mereka. Kita akan lihat macam mana nanti, tapi saya sedia untuk merebut tempat saya.
"Saya ingin tunjukkan yang saya ada kesemua yang diperlukan untuk bermain di Jepun, sebuah negara yang bermain bola sepak berkualiti terutamanya serangan secara tersusun," kata Cools.
Cools menyertai Cerezo yang kini menduduki tangga kelapan dengan mengutip 30 mata dalam 21 perlawanan. — The Star/T. AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram