SEBELUM ini, heboh diperkatakan di media sosial bahawa pemain warisan negara, Richard Chin sudah semakin hampir untuk mencuba nasib dalam Liga Super.
Ini selepas terdapatnya khabar angin mengatakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah 'melamar' bek muda berkenaan supaya menjadi bintang regular dalam Harimau Muda.
Dia yang beraksi di liga bawahan England perlu mencuba nasib dalam negara untuk memudahkan lagi segala urusan di samping memberi ruang buat barisan kejurulatihan membuat penilaian mendalam.
BACA LAGI: Bergambar bersama Jalur Gemilang, Richard Chin tunggu masa sarung jersi Harimau Malaya
BACA LAGI: Kehadiran Richard bawa persaingan sihat, undang pujian rakan sepasukan HM
Bagaimanapun, khabar angin itu seakan-akan sudah terpadam selepas bek kiri muda berkenaan baru-baru ini diumumkan sebagai pemain baharu di sebuah kelab kerdil England.
Perpindahan berkenaan disahkan selepas Richard Chin meninggalkan pasukan League One, Charlton Athletic dengan kontraknya tidak disambung pihak pengurusan.
Richard Chin selepas diumumkan sebagai pemain baharu skuad The Yellow. — Farnborough
Jadi, dengan masa depannya bersama The Addicks sudah berakhir, pemain berusia 21 tahun itu memilih untuk menyertai Farnborough selama setahun berdasarkan laman sesawang transfermarkts.
"Bekas pemain muda Charlton Athletic ini merupakan pemain terbaharu untuk memeterai perjanjian di Stadium Saunders Transport Community.
“Selesa beraksi sebagai pemain pertahanan atau pemain tengah, Richard menimba pengalaman di Vanarama National League South sejak dua tahun lalu dengan beraksi secara pinjaman di Dartford dan Bath City di mana beliau baru-baru ini menjaringkan gol hanya dalam beberapa penampilan,” kata Farnborough dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Richard Chin sudah kelihatan berlatih dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, namun memilih untuk tidak mencuba nasib dalam Liga Super.
Antara kelab yang pernah dikaitkan dengannya ialah Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC dengan kedua-dua mereka tentu tidak berdepan sebarang masalah untuk menanggung permintaan gajinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram