
NAMA Ibrahim Manusi sememangnya sudah mekar di bibir peminat bola sepak tempatan apabila pemain muda itu bersinar buat Sri Pahang FC sejak mencipta debut pada 2023.
Tetapi, tumpuan utama diberikan kepadanya selepas keunggulan ditunjukkan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 ketika skuad Tok Gajah tumpas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).
Meskipun gagal menoktahkan dominasi skuad Harimau Selatan, Ibrahim cukup bersungguh-sungguh sepanjang berada di atas padang dalam mengurangkan penguasaan Natxo Insa dan Afiq Fazail.
BACA LAGI: Ketibaan Ibrahim Manusi, tak mustahil Nazmi Faiz-Endrick ditunjukkan jalan keluar dari JDT
BACA LAGI: Posisi Syamer Kutty 'terancam', 3 bintang JDT termasuk Ibrahim Manusi bersaing rebut posisi DMF
Menyedari bakat dimiliki pemain berusia 23 tahun itu, JDT tidak menunggu lama untuk menandatanganinya dengan perpindahan tersebut akhirnya disahkan pada Isnin.
Anak jati Paya Jaras, Selangor tersebut menjadi rekrut ketiga skuad Harimau Selatan bagi jendela perpindahan kali ini selepas membawa masuk Cristian Glauder dan Jairo da Silva.
Bagaimanapun, kemasukan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Baim Copot pasti menjadi buah mulut kerana dia yang masih muda dijangka memikul peranan besar dalam pasukan musim depan.
Jadi, sekiranya kepercayaan besar diberikan terhadapnya, tidak mustahil sekiranya JDT menunjukkan jalan keluar kepada beberapa pemain tengah yang tidak lagi memainkan peranan penting.
Tidak mustahil Natxo akan dikorbankan susulan kemasukan Ibrahim Manusi. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Antara pemain dijangka dikorbankan ialah Natxo Insa yang semakin berusia sementara pemain paling bernilai Liga Super, Jalil Elias juga boleh disingkirkan andai tempatnya diisi Ibrahim.
Selain itu, beberapa pemain yang dibawa masuk bagi kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite seperti Roque Mesa dan Anselmo Moraes berkemungkinan ditunjukkan jalan keluar.
Meskipun pengalaman Ibrahim tidaklah semegah nama-nama di atas, usianya yang jauh lebih muda membolehkan pihak kejurulatihan JDT mengasah bakat dan potensi dimilikinya.
Untuk rekod, rekrut baharu skuad Harimau Selatan berkenaan mencatatkan 33 penampilan sepanjang bersama skuad utama Tok Gajah yang membolehkan bakatnya kian bersinar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram