
BEKAS pemain kebangsaan, S. Subramaniam menyifatkan peningkatan jumlah pemain import dan warisan dalam Liga Malaysia bukan alasan untuk pemain tempatan terus tenggelam.
Sebaliknya dia menyifatkan ia satu cabaran untuk mereka bangkit seperti yang ditunjukkan oleh bintang muda, Arif Aiman Hanapi.
Menurutnya, perubahan dalam era bola sepak kebangsaan hari ini termasuk kebenaran pendaftaran 15 pemain import oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan penambahan lima pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya jelas meningkatkan nilai persaingan, lapor MFL.
“Sekarang persaingan lebih sengit berbanding zaman saya. Tapi itu bukan alasan untuk menyerah. Mereka perlu ambil Arif Aiman sebagai inspirasi, yang mana dia buktikan yang pemain lokal masih boleh jadi tonggak utama pasukan kebangsaan.
"Pemain lokal kena buka fikiran dan gandakan usaha. Peluang mungkin kurang, tapi bukan tiada langsung. Mereka kena berani cabar diri dan percaya yang mereka juga layak bersaing dengan pemain import dan warisan,” kata Subramaniam berkaitan kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam baru-baru ini.
Dalam perlawanan tersebut, Arif Aiman tampil menyerlah di samping pemain warisan dan naturalisasi lain, menunjukkan bahawa anak tempatan masih mempunyai peranan besar dalam pasukan.
Subramaniam (tengah) sebelum ini pernah mewakili The Red Warriors pada musim 2010 sehingga 2013 sebelum kembali semula ketika era Bibi Ramjani Ilias pada 2017.
Subramaniam yang pernah memenangi beberapa pingat bersama Kelantan (termasuk Piala Malaysia 2010 dan Liga Super 2011) menyifatkan bintang sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sebagai simbol kejayaan program pembangunan pemain kelab berkenaan.
“Empat kali dinobatkan sebagai 'MR MVP', umur muda dan konsisten setiap musim itu bukti sistem pembangunan akar umbi kita masih mampu lahirkan pemain berkualiti. Arif Aiman tunjuk yang dengan disiplin dan kerja keras, pemain tempatan tetap boleh bersaing,” tegasnya.
Subramanian jelas kekal positif dengan kemampuan anak tempatan bersaing dan menyinar di peringkat kelab serta kemudian membantu Harimau Malaya mencapai misi di pentas antarabangsa.
Untuk rekod, Subramaniam merupakan bekas pemain bola sepak profesional Malaysia yang beraksi sebagai pertahanan tengah. Beliau yang mengakhiri karier sebagai pemain bola sepak di Selangor FA telah meneruskan kerjaya dalam bidang kejurulatihan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram