Lepas kiper JDT, ada 3 lagi bintang boleh jadi sasaran Kuching City termasuk penyerang Sabah


  • Podium
  • Selasa, 17 Jun 2025

(Dari kiri) Haziq, Ramadhan dan Danial merupakan wajah baru bagi skuad the Cats musim depan. — Facbeook/ Kuching City FC

SELEPAS berjaya mendapatkan Haziq Nadzli, Danial Asri dan Ramadhan Saifullah, Kuching City FC disaran terus memperkukuh skuad dengan memburu tiga lagi pemain berpotensi tinggi yang mampu memberi impak segera dalam kempen Liga Super musim depan.

Ini kerana, walaupun kehadiran Danial, Haziq dan Ramadhan memberi nafas baharu kepada jentera serangan skuad The Cats itu, namun ada beberapa posisi lain masih memerlukan penambahbaikan, khususnya di bahagian pertahanan dan penjaga gol. 

Dengan jendela perpindahan kedua masih dibuka, ini waktu terbaik untuk memburu pemain yang mampu memberi impak segera.

BACA LAGI : Kombinasi import-lokal, Sabah FC mula tunjuk taring perkenal muka baharu

BACA LAGI : Bekas orang kuat Sabah FC ucap maju jaya buat OKS, sempat ajak 2 ex Sang Badak sertai aksi ‘farewell’

Berikut tiga lagi nama yang dilihat wajar dipancing Kuching City sebelum jendela perpindahan ditutup:

Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC)

Rahadiazli Rahalim yang pernah menjadi pilihan utama Terengganu FC. — Gambar/Instagram Terengganun FC

Penjaga gawang, Rahadiazli Rahalim yang pernah menjadi pilihan utama Terengganu FC, memiliki ketinggian dan refleks pantas sekali gus menjadikannya aset penting di benteng terakhir. 

Walaupun baru berusia 23 tahun, Rahadiazli juga merasai saingan di peringkat Asia apabila tampil dalam kempen Piala AFC, menjadikannya penjaga gol muda yang cukup berpengalaman.

Kuching City ketika ini bergelut dengan konsistensi di posisi penjaga gol, terutama dalam aspek komunikasi dan ketenangan ketika ditekan. 

Tambahan pula, penjaga gawang skuad The Cats pada Mohd Shahril Sa'ari dan Wan Azraie ketika ini dikatakan sudah 'berusia' dan pasukan itu sendiri memerlukan nafas baharu dalam pasukan. 

Rahadiazli juga dikenali dengan ketangkasan menyelamat sepakan jarak dekat dan berani turun menutup ruang dalam situasi satu lawan satu.

Muhaimin Izuddin (KDN FC)

Muhaimin terkenal dengan keupayaannya melakukan ‘interception’ tepat, selain memiliki ketenangan ketika berdepan tekanan lawan. — Gambar/Instagram Muhaimin 

Muhaimin Izuddin pula menunjukkan perkembangan konsisten bersama Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) musim lalu, dan terus menyerlah sebagai tonggak utama pertahanan pasukannya. 

Kepakarannya membaca permainan serta disiplin dalam bertahan menjadikan dia calon ideal untuk memperkukuh benteng Kuching City yang ketika ini dilihat agak longgar dalam mengawal ruang tengah dan sayap. 

Muhaimin juga terkenal dengan keupayaannya melakukan ‘interception’ tepat, selain memiliki ketenangan ketika berdepan tekanan lawan yang merupakan satu kelebihan satu penting untuk bertahan ketika diasak bertubi-tubi.

Tambahan pula, fleksibiliti Muhaimin yang boleh beraksi di beberapa posisi di bahagian bawah sama ada sebagai bek tengah atau bek kanan menjadikannya pilihan versatil untuk taktikal jurulatih.

Rozaimi Abd Rahman (Sabah FC)

Rozaimi merupakan penyerang yang memiliki visi permainan yang baik serta kebolehan teknikal tinggi. — Gambar/Instagram Rozaimi

Bagi jentera serangan, Rozaimi Abd Rahman adalah antara nama yang tidak boleh diketepikan. 

Rozaimi merupakan penyerang yang memiliki visi permainan yang baik serta kebolehan teknikal tinggi. 

Pemain skuad The Rhinos itu bukan sahaja mampu menjaringkan gol, tetapi juga cemerlang dalam mencipta peluang untuk rakan sepasukan. 

Corak permainannya yang lincah dan tidak mudah dijangka menjadikan beliau ancaman utama kepada pertahanan lawan, khususnya dalam situasi satu lawan satu.

Jika dibawa masuk ke Kuching City, Rozaimi boleh menjadi pelengkap sempurna kepada Danial Asri dan Ramadhan Saifullah. 

Kombinasi tiga serangkai ini mampu membentuk barisan serangan yang lebih kreatif, fleksibel dan berbahaya. 

Di samping itu, pengalaman Rozaimi di pentas antarabangsa dan domestik boleh menjadi rujukan penting kepada pemain muda lain dalam skuad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram