
PERTEMUAN 'derbi Pantai Timur’ antara Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dan Terengganu FC (TFC) bakal menjadi antara aksi pemanas badan menjelang musim baharu Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026.
Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 4 Julai 2025 di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), Kota Bharu, Kelantan itu diumumkan secara rasmi menerusi platform media sosial kelab KRW FC.
"Bukan sekadar perlawanan. Ia adalah suasana perang. KRW FC dan TFC. Pertembungan semangat dan warisan pada 4 Julai 2025. Berada di sana. Rasa bahangnya,” kata kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh KRW FC pada Rabu.
BACA LAGI: Irfan Bakti ajak peminat meriahkan Liga A1 Semi-Pro sebagai ganti
BACA LAGI: Enggan ulangi kesilapan lama, Irfan Bakti idam bawa import ke Kelantan musim depan
Lebih menarik, penyokong KRW FC yang berstatus ahli rasmi kelab diberi peluang membeli tiket perlawanan dengan harga istimewa serendah RM1, sekali gus dijangka menarik kehadiran besar ke stadium.
Aksi pra-musim itu akan mempertemukan KRW FC dengan Terengganu yang pernah menjulang Piala Malaysia pada 2001. Ia bukan sahaja dilihat sebagai medan untuk menguji keserasian pasukan, malah menjadi pentas penting untuk menilai pemain-pemain baharu kedua-dua kelab.
Meskipun KRW FC pasukan baharu dalam sejarah bola sepak Cik Siti Wan Kembang namun ia dianggap masih mempunyai sentimen negeri itu seperti pasukan-pasukan Kelantan FC dan Kelantan Darul Naim FC
Setiap pemain yang pernah bermain untuk Kelantan mahupun Terengganu pasti mempunyai kenangan manis dalam aksi derbi Pantai Timur termasuk bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Pengendali KRW FC, Akmal Rizal. — Facebook
Akmal Rizal yang pernah menyarung jersi Kelantan pada musim 2010 itu berkongsi, memenangi Piala Malaysia pada tahun berkenaan merupakan kenangan manis sepanjang semusim dia menyarung jersi The Red Warriors (TRW).
"Dulu saya bermain 2010 bersama Kelantan dan pastinya dulu stadium dipenuhi oleh penyokong kedua-dua pasukan (lagi-lagi ketika derbi Pantai Timur) kerana Kelantan dan Terengganu berada dalam prestasi terbaik.
"Jika tanya saya kenangan manis sepanjang menyarung jersi Kelantan adalah ketika menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama untuk Kelantan dan diri saya sendiri," katanya kepada Majoriti.
Untuk rekod, Kelantan menjuarai Piala Malaysia selepas mengalahkan Negeri Sembilan dengan keputusan 2-1 pada perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 15 tahun lepas.
Kelantan merangkul trofi Piala Malaysia pada 2010. — Facebook
Dalam pada itu, Akmal Rizal yang sebelum ini merupakan ketua jurulatih Penang FC berharap pengendali KRW FC iaitu Irfan Bakti Abu Salim untuk menjadikan aksi pemanas badan itu sebagai medan mencari pemain utama kelab baharu itu.
"Bagi saya perlawanan pra musim adalah perlu bagi mana-mana pasukan untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan liga. Perlawanan KRW lawan Terengganu adalah perlawanan yang biasa untuk pra musim.
"Cumanya di sini ia penting untuk coach Irfan mengenal pasti pemain-pemain yang sudah bersedia membarisi pasukannya bagi cabaran Liga A1 kerana Terengganu adalah pasukan yang baik dan akan beraksi dalam Liga Super," tambahnya.
Akmal Rizal juga pada masa mengingatkan agar pendatang baharu Liga Malaysia itu bijak menguruskan bajet mereka agar masalah tunggakan gaji yang menimpa kelab di Kelantan tidak terjadi kepaa KRW.
KRW FC baru-baru ini disahkan satu daripada 12 pasukan bakal bersaing dalam saingan Liga A1 Semi Pro setelah disahkan penyertaan dengan sepak mula dijadualkan pada penghujung Julai dan berakhir Mei 2026.
Difahamkan, selepas penubuhannya secara rasmi pada 21 Disember 2024 bagi menggantikan Kelantan FC yang dibelenggu krisis kewangan, Kelantan Red Warriors kini menjadi wajah baharu bola sepak Kelantan.
Matlamat utama pasukan berkenaan adalah untuk kembali ke saingan Liga Super dalam tempoh tiga ke lima tahun melalui asas yang mampan dan sistem pembangunan jangka panjang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram