Joseph Kalang Tie optimis The Cats tagih kualiti, pengalaman Ramadhan Saifullah bersama JDT


  • Podium
  • Jumaat, 13 Jun 2025

Joseph Kalang Tie kini menggalas tugas sebagai penolong jurulatih skuad Bawah 23 Tahun Kuching City FC. — Facebook/Kuching City FC

STATUS Ramadhan Saifullah sebagai pemain pinjaman kini berakhir apabila Kuching City FC baru-baru ini mengesahkan perpindahan tetap bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu ke skuad The Cats.

Berita gembira tersebut pastinya membuat ramai penyokong The Cats berpuas hati dengan keputusan Ramadhan untuk kekal bersama Kuching dalam mengembangkan kariernya bersama pasukan Borneo itu.

Manakan tidak, sepanjang menjadi pemain pinjaman The Cats, anak jati kelahiran Johor itu tidak menunggu lama untuk membuktikan kualitinya apabila meledak lima gol dan membuat dua hantaran bantuan selepas 19 perlawanan bersama Kuching City.

BACA LAGI: Teka-teki terjawab, NSFC umum pelantikan Nidzam Jamil, siap pakej 3 rekrut baharu

BACA LAGI: 'Abang Botak' HM ikut jejak 3 bintang warisan, tak perlu masa lama cipta impak

Aksi Joseph Kalang bersama Kuching City FC ketika perlawanan persahabatan menentang Phnom Penh Crown FC. — Facebook/Kuching City FC

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Ramadhan memilih untuk kekal di Bumi Kenyalang bagi musim depan lebih-lebih lagi persaingan sengit di JDT akan menyebabkan pemain sayap itu diletakkan di bangku simpanan dan minit permainan terhad.

Mengulas lanjut mengenai perpindahan itu, legenda bola sepak tanah air, Joseph Kalang Tie bersetuju dengan berita gembira itu.

Menurutnya, Ramadhan merupakan pemain yang banyak memberi impak kepada Kuching City musim lalu dengan menggerakan bahagian sayap dan wajar kekal bersama kelab di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak.

"Pada pandangan saya, musim lepas Ramadhan telah memberi impak yang sangat baik dan membantu Kuching City berada di tangga keempat Liga Super serta membantu The Cats layak suku akhir Piala Malaysia 2024.

"Dengan perpindahan secara tetap Ramadhan ke Kuching sedikit sebanyak membantu perancangan coach Aidil dalam saingan baru akan bermula berapa bulan lagi," katanya kepada Majoriti.

Pemain sayap lincah, Ramadhan Saifullah kekal bersama Kuching City FC pada musim depan sebagai pemain tetap. — Facebook/MFL

Katanya lagi, kehadiran Ramadhan secara tetap musim depan sebenarnya mampu membantu meningkatkan kualiti pemain muda apatah lagi dia memiliki pengalaman latihan bersama pemain senior di JDT.

"Kehadiran Ramadhan untuk kelab amat baik kerana pemain-pemain muda kita boleh belajar pengalaman serta permainan yang dimiliki Ramadhan.

"Bagi saya, amat bagus sekali kerana kualiti yang ada pada Ramadhan harus pemain muda kita pelajari. Dengan pengalaman yang dia ada bersama waktu ketika bersama JDT sebelum ini," ujarnya.

Joseph Kalang berharap agar dengan perpindahan Ramadhan ke kelab Borneo itu, diharapkan agar para pemain muda mengambil kesempatan untuk bersaing secara sihat demi mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Anak jati Sarawak itu juga mengingatkan bahawa kejayaan pasukan bergantung kepada fokus berterusan dalam setiap perlawanan.

"Dengan permindahan ini, saya berharap pemain-pemain muda lain harus kerja keras dalam bersaing untuk mendapat tempat secara sihat dan memberi keyakinan terhadap coach Aidil.

"Kita harus melihat dan fokus game by game dan selebihnya selepas itu baru kita melihat apa yang kita plan dan capai tu kerana inilah Kuching City FC, we stay humble and focus on our goals," katanya.

Joseph Kalang Tie kini menggalas tugas sebagai penolong jurulatih skuad Bawah 23 Tahun Kuching City FC selepas bersara daripada karier profesionalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram