Dikaitkan ke KL City, Hidalgo mesti terkilan jika dipinjamkan lagi — Pekan Ramli


  • Podium
  • Jumaat, 13 Jun 2025

Ketika tempoh pinjaman bersama Pahang pada musim 2024/2025, Hidalgo meledak tujuh gol dalam 24 perlawanan. — Facebook/SriPahang

PENYERANG sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Manuel Hidalgo dikhabarkan akan menyertai Kuala Lumpur (KL) City FC sebagai pemain pinjaman bagi membantu memperkuatkan serangan kelab berkenaan.

Menerusi perkongsian daripada pemerhati bola sepak tanah air, T. Avineshwaran memaklumkan pemain kelahiran Argentina berkenaan sedang diburu skuad Warga Kota untuk dipinjam bagi musim 2025/2026.

Bagaimanapun, perpindahan secara pinjaman itu belum disahkan oleh pengurusan The City Boys, mahupun dari kelab majikan Hidalgo iaitu JDT dengan ia masih kekal menjadi topik perbualan penyokong sahaja.

BACA LAGI: Lupakan seketika Hidalgo-Kpah, Saravanan antara 3 calon finisher Pahang hadapi JDT final Piala Malaysia

BACA LAGI: Semoga Kedah kembali digeruni — Hidalgo

Sekiranya proses berkenaan itu berlaku, ia merupakan kali kedua Hidalgo bermain dengan status pinjaman susulan sebelum ini, pemain berusia 26 tahun tersebut bermain untuk Sri Pahang bagi kempen 2024/2025.

Melihat situasi Hidalgo yang tidak pernah bermain untuk majikannya itu, kebanyakan penyokong mempersoalkan jika pemain sayap itu belum mencapai kualiti Harimau Selatan hingga asyik menyarung jersi lain.

Mengulas pandangan mengenai situasi menimpa Hidalgo, pemerhati bola sepak tempatan iaitu Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat bahawa posisi sayap kanan dan tengah menyerang yang dimainkan pemain itu mempunyai ramai pesaing.

Posisi itu semakin kompetitif selepas pemain warisan negara, Hector Hevel sah akan memperkuatkan JDT, sekali gus memberi petunjuk akan meninggalkan kelab Portimonense SC dalam saingan Liga Portugal.

"Bila dipinjamkan, maksudnya kelab itu terlalu kompetitif untuk posisi hidalgo. Mungkin dia tak level up dengan kehendak JDT. Kemasukan beberapa pemain baru macam Hevel juga akan mengancam posisi Hidalgo.

"Bagi saya peluang dia masih ada sebab jurulatih baharu dan mungkin pengendali itu pun belum dapat lagi melihat bagaimana perancangannya. Saya nampak kena beri peluang kepada dia, musim pun belum bermula. Apa benda ambil dia kalau nak pinjam sana sini.

"Tetapi kelebihan bersama JDT, gaji akan lebih terjamin. Dari segi gaji, dia tak perlu risau sangatlah. Pada akhirnya, hak untuk meminjamkan dia (Hidalgo) bukan hak dia tetapi hak kelab," katanya kepada Majoriti.

Pekan berharap jurulatih baharu JDT iaitu Xisco Munoz akan memberi peluang kepada semua pemain bagi tunjukkan kebolehan masing-masing sebelum pihak pengurusan memutuskan untuk meminjamkan mereka.

Dalam pada itu, Pekan juga tidak menafikan motivasi Hidalgo akan menurun jika kerap menjadi pemain pinjaman di kelab lain, seolah-olah memberi gambaran dia tidak cukup berkualiti untuk bermain bersama pasukan majikan.

"Sebagai pemain, kita mestilah tak banyak tetapi mesti ada rasa terkilan lah kan. Terutama bila dia dipinjam oleh kelab yang memang semua orang impikan nak main. Tapi dia nama sahaja dengan kelab itu tapi dipinjamkan," tambahnya.

Hidalgo pernah beraksi bersama pasukan Bawah 21 Tahun (B-21) Sheffield Wednesday di England sebelum memilih haluan ke Liga Malaysia dengan menyertai Sri Pahang selama dua musim dari 2021-2022.

Pada musim 2023, Hidalgo berhijrah ke Kedah Darul Aman FC, namun jodohnya tidak panjang apabila diikat skuad Harimau Selatan pada awal kempen 2024/2025 dan dia dipinjamkan ke skuad Tok Gajah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram