SITUASI tegang dirasakan antara dua bekas bintang negara, Azmeer Yusof dan Zaquan Adha berikutan pendedahan isu buli dalam dunia bola sepak tempatan, sekali gus membongkar sisi gelap sukan paling popular tanah air itu.
Azmeer yang mendedahkan isu tersebut di laman Facebook peribadinya hujung Mac lalu menerima respons daripada bekas rakan sepasukannya dengan ada berasakan tindakan sebegitu tidak wajar.
Meskipun tidak memetik mana-mana pihak, kata-kata itu dirasakan hanya mencalarkan imej bola sepak negara yang sudah bertahun-tahun gagal meraih kejayaan di pentas antarabangsa.
Antara yang beranggapan demikian ialah bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak dalam satu sesi live TikTok bersama beberapa rakan sepasukannya.
Bagaimanapun, isu berkenaan menjadi semakin rumit selepas Azmeer membuat satu hantaran berbunyi sindiran ke atas seseorang yang membuat laporan polis tanpa mendedahkan sebarang nama.
BACA LAGI: Pengaruh 'cable' punca pemain 'injury prone' masih jadi rebutan kelab Liga Super — Azmeer Yusof
Pendedahan Azmeer di media sosial mencetuskan persepsi negatif. — Facebook/Kedah FA
Melihat kepada keadaan semasa, luahan itu seakan-akan ditujukan ke arah Zaquan dengan orang beranggapan dia pernah terlibat dalam isu buli seperti diluahkan bekas rakan sepasukannya.
Tetapi, laporan itu sebenarnya dibuat terhadap artis ternama, Rita Rudaini atas isu rumah tangga dihadapi kembarnya, Aidil Zafuan beberapa tahun lalu.
Isu tersebut semakin hangat sehingga Zaquan meminta untuk bertemu Azmeer secara bersemuka untuk berbincang mengenai sindiran yang semakin kerap diluahkannya.
Situasi tegang antara kedua-dua bekas pemain itu mencuri tumpuan hangat peminat bola sepak tempatan yang kecewa akan persengkatan mereka.
Antara yang semestinya berasa kurang selesa dengan persengketaan itu ialah penyokong Kedah kerana kedua-dua pemain tersebut pernah beraksi di kelab Utara tanah air berkenaan.
Zaquan pernah menjadi salah seorang watak penting skuad Sang Kenari. — Facebook/Kedah FA
Salah seorang yang berasakan demikian ialah pengguna Facebook, Afiq Rowley kerana Zaquan dan Azmeer mempunyai karakter cukup hebat di atas padang.
"Di Kedah, musim 2019, Zaquan berjaya bawa satu karakter cukup diminati selaku pemimpin kepada siri serangan Sang Kenari dan mencipta imej positif tanpa sebarang isu.
"Azmeer pula, aku pernah bertemu secara peribadi dengannya pada sesi latihan Kedah. Pemain yang begitu ramah dan menegur aku terlebih dahulu untuk ajak masuk duduk di tepi padang latihan.
"Apapun sengketa antara kedua pemain ini, harap dapat diselesaikan. Apatah lagi Azmeer dan Zaquan sendiri pernah bersama ketika di Kuala Lumpur (KL) City dan Kedah," katanya.
Azmeer dan Zaquan pernah menikmati memori manis bersama skuad Sang Kenari.
Untuk rekod, kedua-dua pemain berkeaan merupakan watak utama ketika Kedah FA menjuarai Piala FA 2019 dengan masing-masing memainkan peranan penting di dalam dan di luar padang.
Selain pernah beraksi bersama-sama di Utara tanah air, mereka juga pernah bergandingan di KL City setahun sebelum menyertai skuad Sang Kenari.
Jadi, tidak hairanlah apabila kemelut antara kedua-dua pemain itu mencalarkan imej kerana orang ramai berharap agar penyelesaian dapat ditemui tidak lama lagi.
Setakat ini, Azmeer masih belum memberi sebarang respons terhadap perlawaan Zaquan untuk bertemu bagi berbincang akan persengketaan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram