'Tiada pilih kasih ikut latar belakang, Cklamovski hanya mahu yang terbaik buat Harimau Malaya'


  • Podium
  • Jumaat, 13 Jun 2025

Impak dibawa Cklamovski cukup memuaskan selepas Harimau Malaya mudah menjinakkan Vietnam di laman sendiri. — Facebook/Malaysia NT

KEMENANGAN 4-0 dicatatkan ke atas Vietnam di laman sendiri pada Selasa lalu meletakkan 'sebelah kaki' Harimau Malaya ke saingan Piala Asia 2027 meskipun masih terdapat empat lagi perlawanan perlu diharungi.

Ini kerana gergasi Asia Tenggara itu merupakan satu-satunya pencabar serius negara dalam Kumpulan F bagi kempen kelayakan dengan Nepal dan Laos tidaklah begitu membimbangkan.

Jadi, dengan enam mata sudah dikutip termasuk ketika menumpaskan Vietnam, ia memberi bayangan awal bahawa revolusi Harimau Malaya membuahkan hasil meskipun masih di peringkat awal.

BACA LAGI: Ada risiko 3 kelab termasuk Kedah FA kongsi Stadium Darul Aman, lagi-lagi faktor padang

BACA LAGI: Indonesia tidak lagi seperti dulu, FAM terlepas uji kematangan HM berdepan musuh tradisi

Kesebelasan utama negara berdepan Vietnam pada Selasa didominasi pemain warisan dan naturalisasi. Facebook/Malaysia NT

Bagaimanapun, di sebalik langkah kanan itu, terdapat segelintir pihak masih kurang berpuas hati dengan skuad bimbingan Peter Cklamovski yang dibarisi terlalu ramai pemain warisan dan naturalisasi.

Bayangkan sahaja, dalam kesebelasan utama menentang Vietnam tempoh hari, Harimau Malaya hanya dibarisi dua bintang lokal iaitu Arif Aiman Hanapi dan Syihan Hazmi sementara Nazmi Faiz Mansor hanya dibawa masuk pada penghujung perlawanan.

Pendekatan diambil itu membuatkan sesetengah peminat beranggapan Cklamovski bertindak memilih pemain warisan dan naturalisasi sehingga akan menyaksikan bintang lokal tersisih.

Namun, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, pandangan itu sememangnya tidak tepat kerana jurulatih kelahiran Australia itu pasti mahukan yang terbaik buat negara.

Sesetengah penyokong masih berpandangan serong terhadap skuad kebangsaan. Facebook/Malaysia NT

"Mereka (pemain lokal) akan sentiasa tersisih jika masih berada di takuk lama tanpa mencipta sebarang perubahan. Tak kira mereka pemain tempatan,naturalisasi atau warisan, pasti jurulatih hanya akan memilih pemain terbaik sahaja untuk Malaysia," katanya kepada Majoriti.

Tanggapan bahawa Cklamovski hanya menurunkan pemain warisan mahupun naturalisasi juga mudah dipatahkan kerana dalam dua aksi pertama, iaitu berdepan Nepal dan Cape Verde, jurulatih tersebut masih mempercayai kudrat tempatan.

Bagaimanapun, pendekatan berbeza terpaksa diambil untuk aksi menentang Vietnam kerana rata-rata pasti memahami kualiti juara Piala AFF 2024 itu yang jauh lebih baik berbanding negara.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perubahan perlu diambil anak jati tempatan untuk merebut tempat dalam pasukan, Afiq menyatakan ada aspek penting perlu diberi perhatian.

Skuad kebangsaan berada dalam landasan tepat untuk ke Piala Asia 2027. Facebook/Malaysia NT

"Mereka perlu sentiasa berusaha tingkatkan prestasi. Pemakanan, stamina, fizikal antara asas utama perlu perbaiki buat pemain tempatan.

"Selain itu, disiplin. Mana-mana jurulatih pastinya menitik beratkan disiplin selaku keutamaan dalam pasukan. Melainkan anda (Lionel) Messi, itu cerita lain. Tetapi, anda hanya pemain biasa yang memerlukan disiplin untuk berubah menjadi lebih baik," katanya.

Pemain lokal masih berpeluang mencuri hati jurulatih Harimau Malaya tersebut sebelum aksi ketiga Kempen Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Laos di tempat lawan pada 9 Oktober depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram