
UZBEKISTAN mencipta sejarah dengan melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara itu.
Sebagai penghargaan atas pencapaian tersebut, Presiden Shavkat Mirziyoyev menghadiahkan kenderaan elektrik (EV) jenama BYD kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan, menurut laporan media.
Penghargaan itu diumumkan selepas kemenangan bergaya 3-0 ke atas Qatar dalam aksi terakhir Kelayakan Zon Asia di Stadium Pakhtakor, Tashkent pada 10 Jun lalu.
BACA LAGI: Teka-teki terjawab, NSFC umum pelantikan Nidzam Jamil, siap pakej 3 rekrut baharu
Skuad kendalian Timur Kapadze itu telah mengesahkan kemaraan ke pentas Piala Dunia pada 6 Jun lalu selepas seri tanpa jaringan ketika bertemu Emiriah Arab Bersatu (UEA) di Abu Dhabi.
Dengan kejayaan berharga tersebut, Uzbekistan menamatkan penantian panjang untuk melangkah ke Piala Dunia selepas beberapa kali gagal dalam percubaan sebelum ini.
Sebagai tambahan kepada hadiah kenderaan elektrik, Presiden Mirziyoyev turut menandatangani dekri khas bagi menganugerahkan pingat dan gelaran kehormat kepada beberapa ahli pasukan sebagai pengiktirafan atas usaha dan pencapaian mereka.
Dengan kejayaan Uzbekistan, Malaysia kini dilihat boleh mengikuti jejak langkah negara tersebut dalam kempen Piala Asia 2027.
Skuad Harimau Malaya kini berada dalam landasan terbaik untuk layak ke Piala Asia 2027 secara merit yang akan berlangsung di Arab Saudi.
Ketika ini, Malaysia sudah mencatat dua kemenangan bergaya ke atas Nepal dan Vietnam dan kini gah di puncak Kumpulan F dengan kutipan penuh enam mata.
Dengan kehadiran bintang-bintang warisan seperti Hector Hevel, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Facundo Garces, Jon Irazabal, Gabriel Palmero dan Imanol Machuca sudah pasti impian Malaysia untuk layak ke Piala Asia bakal menjadi realiti.
.Jika layak ke Piala Asia, tidak mustahil skuad Malaysia akan menerima penghargaan setimpal seperti yang diterima Uzbekistan.
Oleh itu, inisiatif seperti itu wajar ditiru sekiranya Harimau Malaya layak ke Piala Asia sebagai penaik semangat kepada pemain bagi mencipta sejarah tersendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram