'Dulu disayang kini dibenci', 3 bintang termasuk Ibrahim Manusi dan ex Sang Kenari sertai musuh tradisi


  • Podium
  • Ahad, 15 Jun 2025

Menjelang saingan Liga Malaysia musim depan, ada pemain yang memilih untuk menyertai kelab seteru demi meneruskan kelangsungan karier profesional mereka. — Facebook/KDAFC

JENDELA perpindahan pemain bagi musim 2025/26 semakin rancak apabila beberapa pasukan mula mengorak langkah awal dengan memperkenalkan rekrut baharu.

Antara yang mencuri perhatian, Penang FC dan Negeri Sembilan FC telah mengumumkan kemasukan beberapa pemain sebagai persiapan menghadapi saingan musim depan.

Lebih menarik, Liga Malaysia (Liga M) musim depan bakal dimeriahkan dengan kehadiran wajah-wajah yang cukup dikenali dalam kancah bola sepak tempatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Malaysia boleh ikut cara Uzbek jika layak ke Piala Asia

BACA LAGI: Joseph Kalang Tie optimis The Cats tagih kualiti, pengalaman Ramadhan Saifullah bersama JDT

Situasi itu turut dipengaruhi oleh pengunduran dua pasukan, Perak FC dan Kedah Darul Aman FC daripada saingan Liga Super musim depan selepas gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan.

Keputusan itu memberi ruang kepada pemain mereka untuk berhijrah dan meneruskan karier bersama pasukan lain.

Tidak mengejutkan jika ada pemain yang memilih untuk menyertai kelab seteru demi meneruskan kelangsungan karier profesional mereka.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang mengambil keputusan menyertai musuh tradisi bagi mengembangkan lagi potensi dan kerjaya mereka.

1) Amirul Hisyam

Pertembungan derbi Utara antara KDA FC dan Penang FC sentiasa menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.

Mana tidaknya, setiap kemenangan dalam derbi ini bukan sekadar tiga mata, tetapi membawa gelaran tidak rasmi sebagai 'Raja Utara'.

Berdasarkan rekod lima pertemuan terakhir, skuad Harimau Kumbang gagal meraih sebarang kemenangan ke atas Sang Kenari, dengan semua perlawanan memihak kepada KDA FC. Justeru, gelaran 'Raja Utara' kekal menjadi milik Kedah, hasil dominasi mereka dalam derbi tersebut.

Namun, dengan KDA FC tidak beraksi dalam saingan Liga Super musim 2025/26 setelah gagal memperoleh Lesen Kebangsaan, beberapa pemainnya kini mencari haluan baharu termasuk menyertai kelab yang dahulunya dianggap seteru.

Amirul Hisyam sah menyertai Penang FC musim depan. — Facebook/Penangfc

Salah seorang daripadanya ialah tonggak tengah KDA FC, Amirul Hisyam Awang Kechik, yang memilih untuk menyertai Penang FC bagi menghadapi musim baharu.

Untuk rekod, anak jati Kedah itu pernah memainkan peranan penting dalam membantu KDA FC menewaskan Penang dengan kawalan kukuh di bahagian tengah padang.

Kepakarannya dalam mengatur gerakan dan memberi kestabilan menjadikan beliau antara watak utama di sebalik kejayaan KDA dalam derbi tersebut.

Dengan ketinggian 1.72 meter dan pengalaman luas di peringkat Liga Super, kehadiran Amirul dijangka memperkukuh jentera tengah Harimau Kumbang, sekali gus menambah bisa dalam usaha Penang FC.

2) Moses Raj

Sebut sahaja El Clasico Malaya, pasti ramai peminat bola sepak tanah air tahu ia merujuk kepada pertembungan penuh sejarah antara Selangor FC dan Perak FC.

Kedua-dua pasukan itu bukan sahaja kaya dengan tradisi, malah setiap kali bertemu, perlawanan mereka sering disulami dengan insiden panas dan kontroversi, sama ada di dalam mahupun di luar padang menjadikan saingan tersebut antara yang paling dinanti-nantikan.

Menyertai pasukan lawan yang pernah menjadi seteru bukanlah satu keputusan mudah bagi mana-mana pemain. Namun, dalam dunia bola sepak profesional, perpindahan sebegini kadangkala menjadi satu-satunya jalan untuk meneruskan karier.

Moses Raj kini dikatakan berada dalam radar Selangor FC dan semakin hampir untuk mendapatkan khidmatnya. — Facebook/Perakfc

Melihat kepada rekod pertemuan kedua-dua kelab, Gergasi Merah dilihat lebih mendominasi, apabila kerap kali berjaya menewaskan The Bos Gaurus (TBG), sekali gus memperkukuh status mereka sebagai kuasa besar di Lembah Klang.

Musim depan, penyokong bola sepak tempatan bakal menyaksikan kemunculan seorang bintang muda berbakat dari Perak, Moses Raj a/l Michel Dass yang semakin hampir menyarung jersi Merah Kuning.

Moses sebelum ini merupakan tonggak utama skuad Perak III dalam kempen Piala Presiden 2024/25. Aksi cemerlangnya di peringkat remaja turut menarik perhatian ketua jurulatih Malaysia B-19 ketika itu, Juan Torres Garrido, yang memanggilnya menyertai skuad kebangsaan remaja.

Penyertaan Moses ke Selangor FC bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam kariernya, malah menambah warna dalam sejarah panjang El Clasico Malaya.

3) Ibrahim Manusi

Nama Ibrahim Manusi mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan selepas menampilkan aksi cemerlang bersama Sri Pahang FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 April lalu.

Meskipun skuad Tok Gajah tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), persembahan mantap pemain tengah itu tetap dipuji ramai sehingga dia diberikan jolokan Patrick Vieira versi Liga Super, satu penghargaan yang menggambarkan keupayaannya menguasai jentera tengah padang dengan penuh ketenangan dan kekuatan fizikal.

Susulan aksi mengagumkan itu, Ibrahim atau lebih mesra disapa Baim mula menjadi buruan beberapa kelab utama Liga Malaysia bagi musim 2025/26, dengan Terengganu FC antara yang dikaitkan secara serius.

Tidak mustahil sekiranya Baim memilih untuk menyertai kelab seteru memandangkan status Sri Pahang dalam Liga Malaysia musim depan masih tanda tanya. — Facebook/Sripahangfc

Jika perpindahan ke Terengganu FC menjadi kenyataan, ia pasti menjadi antara perpindahan paling menarik diperkatakan memandangkan Terengganu merupakan seteru tradisi Sri Pahang dalam pertembungan Pantai Timur.

Namun, langkah Baim ke Sang Penyu bukanlah sesuatu yang mustahil, lebih-lebih lagi apabila Sri Pahang FC dilaporkan tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan, sekali gus memaksa pemain-pemainnya mencari destinasi baharu untuk meneruskan karier.

Untuk rekod, dalam dua pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan, Sri Pahang dan Terengganu FC terikat 1-1 dalam aksi Liga Super pada 16 Ogos 2024, sebelum tewas 1-5 dalam pertemuan seterusnya pada 27 Februari 2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram