
BERSEMPENA tempoh pramusim ketika ini, pelbagai aksi persahabatan berlangsung untuk menyajikan hiburan berterusan buat peminat bola sepak tanah air selain memastikan pemain berada pada tahap kecergasan terbaik.
Namun, di sebalik aksi pemanas badan dianjurkan kelab tempatan, terdapat juga beberapa perlawanan melibatkan bekas pemain yang masing-masing tetap dirindukan penyokong.
Ini termasuk pertembungan antara pasukan diwakili legenda bola sepak Kelantan, TRW Treble 12 yang akan menentang Ex Selangor di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada 21 Jun depan.
BACA LAGI: Final Piala Malaysia paling hangat, Mr MVP lengkapkan 'triple treble' JDT
BACA LAGI: Yang pertama julang ‘double treble’, hentikan dominasi JDT antara 3 legasi Kedah dalam Liga M
Lambakan pemain ternama akan beraksi dalam pertembungan Ex Selangor dan Ex TRW Treble pada 21 Jun depan. — Facebook/TRW Treble 12
Aksi tersebut dianjurkan selepas pertembungan melibatkan pasukan Pantai Timur itu pernah menarik ribuan penyokong ketika berdepan bekas pemain Pahang dengan masing-masing merindui ikon The Red Warriors (TRW).
Sambutan sedemikian dijangka sekali lagi disaksikan dalam perlawanan akan datang kerana TRW Treble 12 berjaya menarik lebih ramai bintang, termasuk Dickson Nwakaeme yang terkenal dengan julukan 'Orang Besi'.
Selain itu, beberapa nama besar lagi difahamkan akan turut terlibat seperti Azidan Sarudin dan Razman Roslan buat Ex Selangor sementara Badhri Radzi yang akan mewarnai Ex TRW Treble.
Tetapi, sekiranya pihak penganjur mahu memeriahkan lagi aksi tersebut, mereka boleh memanggil tiga pemain yang pernah beraksi buat kedua-dua pasukan ketika masih bergelar bintang profesional.
1. Francis Forkey Doe
Berdasarkan poster dikongsikan di laman Facebook TRW Treble 12, kelihatan kelibat Francis Forkey Doe yang pernah mewarnai arena bola sepak tempatan bersama Kelantan dan Selangor.
Dia yang merupakan bekas penyerang kebangsaan Liberia pernah membarisi beberapa kelab lain sepanjang 10 tahun dalam Liga Super, namun paling diingati ketika bersama kedua-dua pasukan itu.
Forkey Doe tidak berpeluang menjulang sebarang trofi bersama Kelantan dan Selangor.
Hal tersebut adalah kerana pemain tersebut berada dalam prestasi terbaik, namun tidak bernasib baik untuk menjulang sebarang gelaran ketika menyarung jersi dua kelab terbabit.
Bagaimanapun, kelibatnya yang seakan-akan karakter fiksyen filem 'Predator' disebabkan gaya rambutnya amat diingati sehingga hari ini dengan peminat sudah tentu akan merindui kehadirannya.
Malah, melihat kepada perkongsian di media sosial, pemain berusia 39 tahun itu sudah mempamerkan kesungguhan untuk memberi persembahan terbaik apabila sudah menyertai sesi gimnasium bagi berada di tahap kecergasan terbaik.
2. Indra Putra Mahayuddin
Indra Putra Mahayuddin boleh diangkat sebagai antara ikon bola sepak Kelantan selepas menghabiskan majoriti daripada kariernya di Pantai Timur bersama skuad TRW dan Kelantan United FC pada 2023.
Tempoh dihabiskan itu sememangnya membuahkan hasil terbaik baginya dari segi jumlah trofi dijulang kerana dia turut terlibat ketika Kelantan meraih gelaran treble.
Ramai lebih mengingati zaman Indra Putra bersama Kelantan berbanding buat Selangor FC.
Namun, ramai pasti kurang mengetahui bahawa anak jati Ipoh, Perak itu pernah bersama skuad Gergasi Merah bagi musim 2007/08 yang bagaimanapun tidak menghadiahkan sebarang trofi buatnya.
Meskipun gagal membawa sebarang gelaran, nama Indra Putra sudah tentu masih mekar dalam ingatan penyokong setia Merah Kuning yang mahu melihat kelibatnya di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Tetapi, persoalannya, dengan bekas peledak Harimau Malaya itu lebih sinonim dengan Kelantan, adakah dia akan diberi ruang menyarung jersi Ex Selangor dalam perlawanan terbabit?
3. Azamuddin Akil
Alex atau nama sebenarnya Azamuddin Akil turut terlibat dalam sebuah aksi persahabatan di gelanggang keramat skuad TRW itu sebelum ini apabila dia beraksi untuk Ex Pahang.
Bagaimanapun, sekiranya bekas pemain kebangsaan tersebut mahu sekali lagi terlibat, dia boleh diturunkan bagi pertembungan antara TRW Treble 12 dan Ex Selangor.
Tempoh singkat dihabiskan Azamuddin Akil buat Kelantan dan Selangor.
Ini kerana anak jati Kuala Lipis, Pahang itu pernah menyarung jersi buat kedua-dua pasukan meskipun tempoh dihabiskan buat dua kelab itu hanya singkat dan mungkin dilupakan ramai.
Dia terlebih dahulu beraksi buat Kelantan pada 2011 secara pinjaman bagi saingan Piala Malaysia sementara waktu permainannya buat Selangor FC adalah pada 2018.
Meskipun tidaklah begitu lama, Azamuddin sudah tentu tertarik untuk sekali lagi beraksi kerana sambutan diterima bagi perlawanan sebelum ini sukar disaksikan dalam saingan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram