'Sertai Liga A1 sekadar teruskan legasi, bukan petanda kebangkitan Kedah'


  • Podium
  • Isnin, 16 Jun 2025

Penyertaan skuad Sang Kenari dalam Liga A1 Semi Pro sudah tentu menarik untuk diikuti.

KEGAGALAN memperolehi lesen kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyaksikan Kedah Darul Aman (KDA) FC terpaksa mencari platform lain untuk terus bersaing.

Langkah baharu yang diambil kelab Utara tanah air itu adalah dengan cuba menembusi Liga A1 Semi Pro yang turut dibarisi pelbagai pasukan dari beberapa negeri lain.

Cubaan skuad Sang Kenari itu bagaimanapun berdepan halangan kerana pengelolanya, Liga Bola Sepak Amatur (AFL) masih belum memberi kata putus berhubung penyertaan KDA FC.

BACA LAGI: 'Tiada pilih kasih ikut latar belakang, Cklamovski hanya mahu yang terbaik buat Harimau Malaya'

BACA LAGI: Ada risiko 3 kelab termasuk Kedah FA kongsi Stadium Darul Aman, lagi-lagi faktor padang

KDA FC akan menyertai 12 pasukan yang disahkan penyertaan dalam Liga A1 Semi Pro musim depan. Facebook/AFL

Tetapi, dalam laporan Fadhirul Shuhaimi, kelab tersebut hampir pasti bersaing dalam pertandingan peringkat semi pro itu selepas melengkapkan kriteria penyertaan kelab seperti yang ditetapkan.

Ini merupakan satu usaha baik daripada pasukan berkenaan kerana peminat sudah tentu bersemangat untuk menyaksikan kehadiran skuad Sang Kenari dengan ada beranggapan ia merupakan langkah kebangkitan yang wajar disokong.

Namun, bagi pemerhati bola sepak tanah air, Afiq Rowley, keputusan menyertai Liga A1 Semi Pro tidak cukup mengatakan pihak pengurusan KDA FC berusaha menghidupkan semula pasukan.

"Pada pandangan saya, ini lebih kepada menjaga sebuah legasi agar ia tidak terus terpadam. Untuk anggap langkah kebangkitan tak juga kerana isu lama masih ada.

"Untuk mengatakan ia adalah untuk menenangkan hati penyokong pun sukar juga untuk dikatakan. Jadi, ia lebih kepada tanggungjawab menjaga sebuah legasi," katanya kepada Majoriti.

Isu pengurusan dan kewangan menyaksikan skuad Sang Kenari terkubur. Facebook/KDA FC

KDA FC dihalang berentap dalam Liga Super 2025/26 berikutan masalah pengurusan serius dengan MFL menyatakan kelab itu gagal memenuhi kriteria kewangan ditetapkan.

Meskipun terdapat ura-ura mengatakan mereka sudah mendapatkan sumber kewangan kukuh, badan pengelola itu bertindak tegas dengan tidak memberikan lesen penyertaan buat skuad Sang Kenari.

Hal tersebut menyaksikan pasukan berkenaan terlepas beraksi dalam divisyen teratas tanah air selepas kali terakhir tidak berbuat demikian pada 2015 ketika mereka bersaing dalam Liga Perdana.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung kewujudan dua pasukan mewakili Kedah dalam Liga A1 Semi Pro 2025/26, Afiq yang merupakan peminat bola sepak di negeri itu menyatakan ia akan membawa tarikan tersendiri, namun masih mengharapkan kedua-dua pihak dapat bergabung.

"Bola sepak di Kedah ini, pada pandangan saya unik, ada unsur politik dan pemahaman falsafah tersendiri dalam kalangan penyokong. Saya sendiri selaku pemerhati tak sabar nak lihat pasukan mana mampu tarik penyokong.

Afiq Rowley beranggapan adalah lebih baik sekiranya KDA FC dan Kedah FA bergabung di bawah satu bumbung. Facebook/Afiq Rowley

"Pada saya, mereka sepatutnya bergabung dan Berganding bahu demi menaikkan kembali pasukan asal, bukannya berpecah yang pada akhirya saya rasa lebih merugikan," katanya.

Sehingga 2022, KDA FC berada di bawah pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA) sebelum usahawan terkenal, Tan Sri Mohd Daud Bakar hadir sebagai pemegang saham majoriti.

Bagaimanapun, Presiden Kedah FA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan pihaknya masih menghulurkan dana buat kelab itu demi melangsaikan hutang terdahulu.

Saranan untuk kedua-dua pihak kembali berada di bawah satu bumbung bagaiamanpun tidak kesampaian apabila Kedah FA turut menghantar pasukan dalam Liga A1 Semi Pro dengan rata-rata daripada pemain dijangka 'ubi muda' negeri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram