
PENCABAR baharu Liga Super, Imigresen FC sebelum dijangka memilih Stadium Darul Aman (SDA) di Alor Setar, Kedah sebagai gelanggang baharu mereka selepas disahkan naik pangkat ke Liga Super musim 2025/2026.
Imigresen FC dan satu lagi kelab A1 iaitu Melaka FC menerima lesen kebangsaan selepas permohonan mereka di bawah Artikel 15 melalui Lesen Kebangsaan Luar Biasa diluluskan Badan Bebas First Instance Body (FIB) untuk saingan Liga Super musim depan.
Pada musim 2024/2025, pasukan yang dikenali dengan jolokan The Mighty Tigers berkenaan menjadikan Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor sebagai venue rasmi mereka dalam saingan Liga A1.
BACA LAGI: Seorang lagi tonggak KDN bersuara, dakwa pengurusan tak telus lepas kenyataan rasmi
Perpindahan ke Stadium Darul Aman tersebut dilihat sebagai langkah strategik dalam usaha memperkukuh imej kelab serta menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada pemain dan penyokong.
Bagaimanapun, hasrat untuk beraksi di Darul Aman masih belum diputuskan berikutan dua kelab iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kedah FA turut terlibat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) susulan menyertai Liga A1 Semi Pro.
Wakil Imigresen FC, Datuk Zainal Abidin Hassan juga tidak dapat memberi keputusan rasmi lagi sama ada pasukan dengan jolokan The Mighty Tigers berkenaan boleh beraksi di Alor Setar ataupun sebaliknya.
Daripada memikir perkara yang tidak pasti, pihak pengurusan Imigresen sepatutnya sudah boleh mencari venue lain sebagai alternatif menggantikan Darul Aman dengan tiga stadium sesuai dilihat berpotensi menjadi rumah rasmi The Mighty Tigers.
1) Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebelum ini merupakan rumah rasmi TFC. — Facebook/TFC
Dengan pasukan Terengganu FC II sudah tidak terlibat dengan saingan Piala MFL, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu sesuai menjadi venue rasmi Imigresen bagi saingan Liga M musim 2025/2026.
Stadium yang berkapasiti kira-kira 15,000 penonton itu pernah menjadi gelanggang utama pasukan Terengganu FC (TFC) sebelum mereka berpindah ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Dengan stadium berkenaan pernah menjadi venue rasmi Sang Penyu, ia pasti sudah memiliki kemudahan asas dan infrastruktur yang mencukupi untuk menganjurkan perlawanan peringkat tertinggi dalam liga domestik.
Jika Imigresen FC menggunakan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pasukan berkenaan boleh memperluas jangkauan peminat dan mencari lokasi yang berpotensi dari segi pembangunan bola sepak serta sokongan komuniti setempat.
Bagaimanapun, pemilihan stadium itu masih tertakluk kepada rundingan dengan kerajaan negeri Terengganu serta pihak pengurusan stadium dengan aspek teknikal seperti penyelenggaraan padang, keselamatan, logistik dan pengurusan jadual perlu diteliti.
2) Stadium Tuanku Syed Putra
Stadium Tuanku Syed Putra sudah lama tidak dimeriahkan dengan saingan Liga Super. — Facebook/KedahFA
Jika Imigresen FC masih mahu suasana bola sepak di Utara tanah air, Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis yang mampu menampung kira-kira 20,000 penonton dilihat sebagai antara pilihan yang strategik.
Pemilihan venue itu sebagai pangkalan utama juga sebenarnya boleh menjadi inisiatif untuk menghidupkan semula suasana bola sepak di negeri itu yang agak suram sejak pembubaran pasukan Perlis FA beberapa tahun lalu.
Jika Imigresen FC menjadikan Stadium Tuanku Syed Putra sebagai gelanggang rasmi, ia setidaknya menjadi pengubat rindu atau mengembalikan nostalgia rakyat Perlis terhadap aksi bola sepak khususnya di gelanggang keramat stadium Tuanku Syed Putra ini.
Selain itu, jika dilihat lebih mendalam ia juga membuka ruang kerjasama antara kelab dan kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan sukan di Perlis yang dilihat semakin kurang mendapat perhatian.
Dengan pelaksanaan program akar umbi, pembangunan akademi serta penglibatan komuniti setempat, Imigresen FC berpotensi menjadi penggerak utama dalam menjadikan Perlis sebagai hab baharu bola sepak di utara tanah air.
3) Stadium Manjung
Stadium MPM boleh dipertimbangkan oleh Imigresen FC. — Facebook/PerakFC
Selepas Perak FC tidak lagi berada dalam saingan Liga Super, Imigresen FC boleh cuba mendekati pengurusan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Manjung untuk menggunakan venue itu sebagai gelanggang rasmi.
Jika khuatir pasukan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) yang menyertai saingan Liga A1 Semi Pro menggunakannya, The Mighty Tigers tidak usah khuatir susulan mereka pasti lebih memilih Stadium Perak, Ipoh sebagai venue.
Hal ini kerana, Stadium Perak yang sudah menaik taraf rumput mereka pada 2024 pastinya sudah bersedia untuk memberi pasukan negeri tersebut bermain di gelanggang keramat mereka selepas setahun sunyi.
Stadium yang mempunyai kapasiti sekitar 15,000 penonton dan dilengkapi dengan kemudahan asas itu sesuai untuk aksi peringkat liga utama. Pemilihan stadium itu juga sejajar dengan usaha pengurusan Imigresen FC untuk menyediakan suasana yang selesa kepada pemain dan penyokong.
Ia juga memberi kebaikan kepada MPM susulan kolaborasi bersama pasukan Liga Super seperti Imigresen FC dapat memberi impak positif dari segi ekonomi setempat melalui kehadiran penonton dan aktiviti berkaitan perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram