
PEMAIN naturalisasi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi kelihatan lebih gembira selepas meninggalkan Liga Malaysia (Liga M) pada penghujung musim 2023 usai perkhidmatannya bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dinokhtahkan.
Kali terakhir Liridon atau mesra dengan sapaan Mat Don tersebut tampil dalam saingan Liga M ketika menyarung jersi Terengganu FC (TFC) secara pinjaman daripada majikannya, JDT pada musim 2023.
Sekembalinya ke kem Harimau Selatan, khidmat pemain dari Kosovo itu tidak disambung susulan lambakan pilihan tonggak tengah di JDT dengan Liridon juga semakin kehilangan kualitinya untuk menjadi kesebelasan utama barisan kejurulatihan.
BACA LAGI: 'Kedah, do you miss me?' Mat Don 'bakar line' naik gambar sarung jersi Hijau Kuning
BACA LAGI: Tidak diterima sebagai pemain, Mat Don tak putus asa 'try' jadi ejen buat Kedah
Selepas berehat daripada karier selama setahun, pemain yang pernah menyarung jersi Kedah pada musim 2015 hingga 2019 itu akhirnya menandatangani kontrak bersama kelab divisyen kelima Switzerland, FC Schaffhausen pada awal tahun ini.
Selain bermain untuk FC Schaffhausen, pemain berusia 33 tahun berkenaan juga aktif dalam bola sepak sosial dengan menyertai kejohanan Baller League cawangan Jerman bersama pasukan Kafig Tiger FC.
Baller League ialah sebuah liga bola sepak enam sebelah yang menawarkan gaya permainan lebih bebas dan tidak terikat dengan taktik ketat atau politik bola sepak.
Pertandingan berkenaan semakin mempunyai pengikutnya tersendiri dengan baru-baru ini ia juga melibatkan aksi antara negara. Menariknya, Liridon menjadi salah seorang pemain yang mewakili Jerman untuk kejohanan itu.
Former Malaysia international Liridon Krasniqi scored the opening goal in Team Germany's 10-1 win over Team UK in the Ballers League.
— Harimau Abroad(@HarimauAbroad) June 13, 2025
Menerusi perkongsian Harimau Abroad di laman X, Liridon difahamkan menjadi watak penting untuk Jerman apabila dia mencetak dua gol awal dalam kemenangan 10-1 pasukannya ke atas United Kingdom (UK) pada Jumaat.
Menerusi klip video aksi Baller League berkenaan, Liridon melepaskan rembatan kencang sebelum menuju tepat ke gawang lawan, ia membuktikan bahawa pemain tengah itu masih mempunyai kualiti untuk beraksi di liga profesional.
Untuk rekod, Liridon sebelum ini pernah menawarkan diri beraksi secara percuma buat Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila pasukan itu mengalami masalah tunggakan gaji. Namun, ia diendahkan oleh pihak pengurusan
Jika Liridon cemerlang bersama Schaffhausen II dan di kejohanan Ballers League, tidak mustahil ia boleh membuka peluang bekas pemain kebangsaan berkenaan untuk beraksi semula di saingan Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram