Ada risiko 3 kelab termasuk Kedah FA kongsi Stadium Darul Aman, lagi-lagi faktor padang


  • Podium
  • Ahad, 08 Jun 2025

Stadium Darul Aman merupakan antara venue paling dikenali selepas bertahun-tahun menjadi gelanggang skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

NAIB juara Liga A1 Semi-Pro iaitu Imigresen FC sebelum ini dijangka memilih Stadium Darul Aman (SDA) di Alor Setar, Kedah sebagai gelanggang baharu mereka selepas disahkan naik pangkat ke Liga Super musim 2025/2026. 

Imigresen FC dan satu lagi kelab A1 iaitu Melaka FC menerima lesen kebangsaan selepas permohonan mereka di bawah Artikel 15 melalui Lesen Kebangsaan Luar Biasa diluluskan Badan Bebas First Instance Body (FIB) untuk saingan Liga Super musim depan.

Pada musim 2024/2025, pasukan yang dikenali dengan jolokan The Mighty Tigers berkenaan menjadikan Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor sebagai venue rasmi mereka dalam saingan Liga A1. 

BACA LAGI: Tak perlu belanja besar, Imigresen boleh pancing tonggak Kedah, Perak dan bintang buangan Penang

BACA LAGI: Lebih sengit berbanding Liga Super, drama hari terakhir Liga M3 julang Imigresen FC sebagai juara

Perpindahan ke Stadium Darul Aman tersebut dilihat sebagai langkah strategik dalam usaha memperkukuh imej kelab serta menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada pemain dan penyokong.

Bagaimanapun, kebimbangan Imigresen menggunakan Stadium Darul Aman sebagai venue mula dibincangkan apabila Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kedah FA turut terlibat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) susulan menyertai Liga A Semi Pro. 

Pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley juga tidak menolak terdapat risiko logistik dan kemudahan sekiranya tiga pasukan iaitu KDA FC, Kedah FA dan Imigresen FC berkongsi menggunakan Stadium Darul Aman sebagai gelanggang utama musim hadapan.

Afiq menjelaskan bahawa walaupun perkongsian berkenaan mungkin boleh dilaksanakan, ia tetap menimbulkan kebimbangan dari segi penjagaan padang serta jadual perlawanan yang bertindih nanti. 

Imigresen FC merupakan naib johan dalam saingan Liga A1 Semi Pro kebelakangan ini. — Facebook/Imigresen FC

"Pandangan saya, sudah tentu pihak stadium akan memperkemaskan segalanya memandangkan tiga pasukan termasuk Imigresen akan beraksi. Tapi bagi saya, mungkin hanya Imigresen sahaja guna SDA dengan dua lagi pasukan di lokasi berbeza. 

“Tak ada masalah kerana tiga pasukan ini datang dari saingan berbeza kecuali KDA dan KFA. Walaupun begitu, tentunya pengelola liga akan memikirkan juga untuk mengelakkan pertindihan berlaku," katanya kepada Majoriti

Namun begitu, Afiq tetap mengingatkan bahawa wujud cabaran dari sudut teknikal seperti kerosakan padang serta keperluan pemulihan permukaan permainan yang cepat, yang akan menuntut usaha lebih daripada pengurusan stadium dan pasukan.

Oleh sebab itu, Afiq turut mencadangkan agar pihak berkaitan mempertimbangkan stadium lain yang ada di negeri Kedah, memandangkan beberapa venue lain juga memiliki kemudahan yang baik bagi menjadi gelanggang rasmi. 

“Pastinya ada risiko. Kerosakan padang dan recovery pantas perlu dibuat. Ini suatu cabaran buat pihak stadium dan kelab. Tetapi, seperti saya katakan, moga tiga kelab ni beraksi di lokasi berbeza.

“Kedah sebenarnya ada beberapa stadium yang berkualiti. Harapnya tak semua gunakan SDA,” jelasnya. 

Setakat berita ini ditulis, masih tiada sebarang kenyataan rasmi berhubung penggunaan Stadium Darul Aman daripada pihak Imigresen FC, KDA FC, Kedah FA, pengurusan stadium dan dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung isu terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram