Kombinasi import-lokal, Sabah FC mula tunjuk taring perkenal muka baharu


  • Podium
  • Ahad, 15 Jun 2025

(Dari kiri) Dean, Dane, Maxius dan Badrul antara empat wajah baharu yang bakal beraksi untuk Sabah FC musim depan. — Sabah FC

SABAH FC terus menyusun langkah dalam usaha memantapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan apabila memperkenalkan gabungan pemain baharu serta kepulangan beberapa wajah lama yang cukup dikenali penyokong setia The Rhinos.

Antara nama baharu yang mencuri tumpuan ialah pemain tengah kelahiran Sydney, Australia iaitu Dean Pelekanos.

Pernah menyarung jersi Western Sydney Wanderersm, Dean yang baru berusia 24 tahun berpengalaman beraksi di liga bola sepak profesional utama di Australia (Liga-A) dijangka membawa kelainan besar dalam corak permainan Sabah.

BACA LAGI :[VIDEO] Dilepaskan kelab EPL, Sabah FC antara 3 pasukan Liga Super sesuai rebut CB Indonesia

BACA LAGI : Tak perlu spesifik, cukuplah dedah anggaran gaji pemain Liga M — Zulakbal 

Dean juga mempunyai kelebihan dari segi kawalan bola, hantaran tepat serta ketenangan mengawal tempo permainan di bahagian tengah.

Selain itu, pengalamannya di peringkat antarabangsa memberi nilai tambah dalam memperkukuh struktur taktikal pasukan.

Dalam pada itu, penyokong pastinya meletakkan harapan tinggi agar Dean mampu menjadi 'nadi penghubung' antara benteng pertahanan dan barisan serangan, sekaligus membuka lebih banyak ruang untuk mencipta jaringan.

Dalam masa sama, Sabah FC turut membawa masuk seorang lagi pemain pertahanan kelahiran Australia, Dane Ingham.

Pemain yang pernah beraksi bersama Newcastle Jets dan menyarung jersi pasukan kebangsaan New Zealand itu dibawa masuk untuk menjadi tunjang penting dalam memperkukuh benteng pertahanan Sabah.

Sabah FC memerlukan benteng petahanan dan penyerang yang berkaliber selepas kehilangan beberapa tonggak utama. — Sabah FC

Dane dikenali dengan keupayaan dalam 'aerial duel' dan dengan kehadirannya, skuad Sang Badak kini mempunyai lebih banyak pilihan di bahagian pertahanan tengah.

Kehadiran Dane juga dilihat mampu menyusun semula struktur bertahan yang lebih kukuh untuk menghadapi asakan lawan.

Skuad Sang Badak turut menyambut kepulangan semula Badrul Affendy, pemain pertahanan kelahiran Penampang yang pernah bersama pasukan pada musim 2022 sebelum berhijrah ke PDRM FC.

Kepakaran Badrul dalam membaca pergerakan lawan serta ketangkasan melakukan 'clearance' menjadikan dia salah seorang pemain bertahan yang cukup dipercayai.

Keupayaannya beraksi di pelbagai posisi di bahagian belakang turut memberikan fleksibiliti kepada pasukan dalam menyusun formasi taktikal.

Badrul juga dikenali sebagai pemain yang berdisiplin dan mempunyai semangat juang tinggi, sesuatu yang amat diperlukan untuk menghadapi tekanan perlawanan kompetitif.

Bukan itu sahaja, Sabah FC turut mendapat kembali khidmat Maxsius Musa, penyerang lincah dari Keningau yang pernah mewakili pasukan dalam beberapa musim terdahulu termasuk 2023.

Kepulangannya dianggap sebagai suntikan semangat kepada pasukan, apatah lagi beliau memiliki kepantasan, ketajaman di hadapan gol dan daya kreativiti tinggi dalam mencipta peluang.

Maxsius sering menjadi ancaman kepada pertahanan lawan dengan larian deras di bahagian sayap dan kebolehannya melakukan penyudah dari pelbagai sudut menjadikannya antara aset penting dalam jentera serangan. Selain itu, statusnya sebagai anak jati Sabah pastinya membakar semangat pemain lain untuk terus memberikan yang terbaik demi maruah negeri.

Kehadiran kombinasi pemain berprofil tinggi seperti Dean dan Dane bersama tenaga tempatan berpengalaman seperti Badrul dan Maxsius dilihat sebagai strategi menyeluruh Sabah FC dalam mencipta keseimbangan antara kualiti import dan kebolehan anak jati.

Langkah ini juga memperlihatkan kesungguhan pengurusan dalam memperbaiki kelemahan musim lalu serta menandakan permulaan baharu untuk mencabar kejuaraan domestik musim ini.

Penyokong Sabah FC kini boleh menarik nafas lega dan menaruh harapan tinggi terhadap skuad ini, yang bukan sahaja dibarisi pemain berbakat, malah memiliki semangat kebersamaan demi mengangkat nama Negeri Di Bawah Bayu di pentas bola sepak tanah air. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram