
BEKAS pemain kebangsaan, Rezal Zambery Yahya menyifatkan persaingan sihat dalam merebut tempat di dalam kesebelasan utama sebagai satu perkembangan positif buat bola sepak tanah air.
Jelasnya, pertambahan kuota pemain import dalam sebuah kelab untuk Liga Super musim 2025-2026 dan juga penambahan lima pemain warisan yang menyertai skuad Harimau Malaya baru-baru ini bakal mencetuskan lebih cabaran buat pemain tempatan.
Rezal percaya situasi itu harus dijadikan pencetus semangat buat pemain tempatan untuk memperbaiki diri, dan bukan alasan untuk berasa tersisih.
BACA LAGI : Tiada lagi isu gaji sangkut, MFL sahkan KDN sukses dapat Lesen Kebangsaan bersama 2 kelab Lembah Klang
BACA LAGI : Setia berbakti bersama Sri Pahang, Azam Azih khabarnya tunggu masa ke Darul Aman
Rezal Zambery Yahya
Dia turut menekankan pentingnya pemain tempatan untuk menyesuaikan diri dengan arus bola sepak moden yang kini memerlukan sesuatu yang lebih daripada sekadar bakat.
"Ini 'trend' bola sepak sekarang. Kalau ingin terus bersaing, pemain perlu ada jati diri yang tinggi, sikap dan karakter yang bagus, pemikiran yang positif, dan yang paling penting perlu berusaha serta melakukan latihan yang konsisten dan lebih keras.
"Kalau ini berlaku, bukan sahaja perkembangan individu akan meningkat, malah pasukan dan negara juga akan menerima manfaatnya dan mendapat kesan positif serta merta," ujar yang pernah membimbing Kelantan FC sebelum ini.
Tambah Rezal, budaya persaingan sihat harus dipupuk sejak peringkat awal lagi agar pemain sentiasa bersedia apabila diberi peluang.
"Jadi, pemain tempatan perlu bangun dan sedar bahawa semua perlu bersaing untuk mendapatkan yang terbaik buat diri mereka," tambahnya.
Dengan musim yang semakin mencabar dan bakat baharu semakin menyerlah, Rezal optimis bola sepak Malaysia berada pada fasa yang cukup menarik, dan semua pihak harus memainkan peranan masing-masing untuk mengekalkan momentum yang ada. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram