Penyambung warisan Dion Cools, duo Terengganu dan bintang Sabah disebut-sebut 'terbang' ke Thailand


  • Podium
  • Sabtu, 07 Jun 2025

Cools melabuhkan tirainya bersama Buriram dengan kejayaan meraih quadruple pada musim ini. — Instagram/DionCools

BINTANG Harimau Malaya, Dion Cools secara rasminya meninggalkan kelab gergasi Thailand, Buriram United dengan tonggak pertahanan itu berhijrah ke kelab divisyen satu Liga Jepun iaitu Cerezo Osaka.

Pada musim pertama di negara berkenaan, pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu membantu pasukannya merangkul treble di pentas domestik yang juga merupakan kali kelima mereka berbuat demikian.

Kemanisannya bersama Buriram United semakin dirasakan pada musim 2024/2025 selepas Cools membawa kelab berkenaan ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite selain menjuarai Piala Shopee.

BACA LAGI: Tepis kecaman fans Indonesia, Dion Cools disambut meriah siap ada lagu di Cerezo Osaka

BACA LAGI: [VIDEO] Pemilik Buriram mahu 'balas jasa' Dion Cools, sedia dengar tawaran kelab Jepun

Kejayaan-kejayaan yang dilakar Cools bersama skuad Thunder Castle itu jelas membuktikan pemain tempatan mempunyai kualiti untuk bermain di Liga Thailand dengan ia sebenarnya memberi tanggapan positif kepada kelab negara jiran mengenai bakat tanah air.

Selain Cools, terdapat dua lagi pemain Malaysia yang beraksi di Liga Thailand pada kempen 2024/2025 iaitu Fergus Tierney dan Muhammad Abu Khalil apabila bermain pada separuh musim dengan kelab Nakhon Pathom United.

Sebelum bersama Nakhon Pathom, Tierney juga menyimpan memori manis di Thailand apabila mendapat pingat kejuaraan Liga Thailand 2 daripada Chonburi FC susulan sumbangannya ketika tempoh pinjaman awal musim.

Kualiti yang ditunjukkan mereka terutamanya Cools berhasil menarik minat beberapa kelab Thailand untuk merisik tonggak lokal Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2025/2026;

1) Stuart Wilkin

Wilkin antara pemain utama Sabah FC sejak 2022. — Facebook/SabahFC

Pemain tengah Sabah FC, Stuart Wilkin kini menjadi tumpuan beberapa kelab Thailand dan sekali gus menguatkan khabar angin dia berpotensi meninggalkan Liga Malaysia menjelang musim baharu nanti.

Tonggak utama skuad Harimau Malaya itu terkenal dengan kemampuannya mengawal bahagian tengah padang serta melakukan rembatan jarak jauh yang tepat dan bertenaga. Kualiti itu menjadikan Wilkin antara pemain tengah terbaik dalam saingan tempatan.

Antara kelab Thailand yang paling rancak dikaitkan dengan pemain berusia 27 tahun itu adalah Kanchanaburi FC selepas media tempatan Thailand membuat hantaran mengenai Wilkin bakal memperkuatkan jentera tengah kelab itu pada musim baharu nanti.

Jika perpindahan ini menjadi kenyataan, ia pastinya satu kehilangan besar buat Sabah FC. Namun penyokong setia skuad Badak dijangka memahami keputusan tersebut, memandangkan pemain bertaraf antarabangsa seperti Wilkin sememangnya menjadi rebutan pasaran luar.

Untuk rekod, Wilkin antara pemain cemerlang Sabah FC sejak dia menyarung jersi The Rhinos pada musim 2022 dengan dia mencetak 16 gol dan membuat 11 bantuan jaringan dalam 91 penampilannya bersama Sang Badak.

2) Ubaidullah Shamsul

Walaupun pertahanan muda negara iaitu Ubaidullah Shamsul pernah menafikan tawaran daripada kelab luar negara pada awal Mei lepas namun khabar angin mengaitkan dia bakal ke Liga Thailand masih menjadi tajuk utama.

Desas-desus ke saingan negara jiran itu semakin rancak dibincangkan selepas pemerhati sukan tanah air, T. Avineshwaran pada Ahad berkongsi terdapat minat dari dua buah kelab Tier 1 Thailand terhadap Ubaidullah selepas aksi tempoh hari.

Minat itu terhasil selepas mereka menyaksikan persembahan cemerlang debut Ubaidullah semasa diturunkan sebagai kesebelasan utama aksi persahabatan menentang Cape Varde yang menyaksikan keputusan seri 1-1 dicatat.

Untuk rekod, Ubaidullah atau mesra dengan sapaan Ubai itu mampu beraksi di posisi bek tengah dan kiri dan merekodkan 35 penampilan, dua gol dan dua bantuan jaringan dalam semua kejohanan bersama Terengganu FC (TFC) pada musim lalu.

Sekiranya kelab Thailand itu tekad mahu menandatangani bek berusia 21 tahun berkenaan, mereka perlu mengeluarkan modal banyak susulan perlu membayar tebus kontrak Ubaidullah yang akan berakhir pada Disember 2026.

3) Akhyar Rashid

Akhyar mencatat 37 penampilannya bersama TFC untuk kempen 2024/2025. — Facebook/TFC

Selain Ubaidullah, pemain sayap Terengganu iaitu Akhyar Rashid turut diintai oleh kelab Thai League 1 selepas dia kembali menemui rentak cemerlang setelah beraksi bersama skuad Sang Penyu dalam saingan musim ini.

Pemain berusia 26 tahun berkenaan merupakan penyerang sayap lincah yang cukup dikenali dengan kepantasan dan skil individu dimilikinya, serta berpengalaman luas di pentas domestik dan antarabangsa.

Selepas cemerlang membantu Terengganu untuk kempen 2024/2025, pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu akhirnya menandatangani kontrak selama dua musim sebagai pemain tetap skuad Penyu pada awal Januari ini.

Akhyar menjadi pilihan untuk membarisi kesebelasan utama bagi posisi sayap kiri bagi Terengganu musim 2024/2025 dengan dia merekodkan 10 gol dan enam bantuan jaringan dalam 38 perlawanan.

Selain kelab Liga Thailand, kelab dari Brunei iaitu DPMM FC juga berminat untuk merekrutnya. Bagaimanapun, pencabar baharu Liga Super itu menyatakan hasrat itu tidak kesampaian kerana Akhyar masih mempunyai kontrak setahun bersama kelab semasanya, Terengganu FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram