
PEMAIN tengah Harimau Malaya, Hector Hevel mengesahkan bahawa dia bakal menyertai kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim hadapan.
Ketika ini, Hevel sedang menjalani persiapan terakhir bersama skuad kebangsaan menjelang aksi penting menentang Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027.
Menerusi sidang media pada Jumaat, Hevel secara terbuka mengumumkan penyertaannya bersama juara 11 kali Liga Super itu.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Coach Kino tak nak saya', Safuwan buka pekung kenapa tinggalkan Selangor
BACA LAGI: Mulakan karier seawal usia 7 tahun, bintang Selangor ikut jejak Intan Serah ke New York
“Ya, saya akan sertai JDT pada musim akan datang,” katanya ringkas kepada media.
Namun begitu, pengumuman itu menerima reaksi berbelah bahagi daripada penyokong bola sepak tempatan.
Hector Hevel sah sarung jersi Harimau Selatan musim depan. — Facebook/Malaysia NT
Segelintir besar penyokong meluahkan rasa tidak bersetuju dengan keputusan Hevel, yang sebelum ini beraksi untuk kelab di Liga Divisyen 2 Portugal, Portimonense SC.
Mereka berpendapat bahawa pemain berusia 29 tahun itu memiliki kualiti tinggi dan seharusnya terus beraksi di pentas Eropah, bukannya 'downgrade' dengan bermain di Liga Malaysia (Liga M) yang dianggap kurang kompetitif.
“Rugi kalau masuk Liga M. Dia ada kualiti, patut kekal di Eropah. Ini seolah-olah menurunkan standard dia,” ujar seorang penyokong, Abdl Rahman.
“Saya tak setuju langsung. Liga M bukan kompetitif. Cuma ada beberapa perlawanan ACLE, itu pun tak banyak. Ini tidak sihat untuk pembangunan bola sepak negara. Contohilah Dion Cools yang pilih liga lebih berkualiti seperti Thailand dan Jepun,” tambah Aizuddin Rosli.
“Sebagai penyokong JDT, saya tak setuju Hevel sertai kami. Dia patut kekal di luar negara. JDT boleh cari pemain import lain, tak perlu ambil pemain warisan Malaysia,” kata Aideel Kota pula.
Perpindahan Hevel ke JDT dijangka menjadi antara perpindahan paling hangat musim hadapan, sekali gus menambah kekuatan skuad Harimau Selatan yang terus mendominasi saingan domestik.
Langkah awal Hevel menyertai JDT juga berpotensi membuka jalan kepada lebih ramai pemain warisan untuk mengikut jejak tonggak tengah Harimau Malaya itu.
Untuk rekod, pemain tengah itu diperkenalkan sebagai pemain berdarah warisan semasa kem latihan pusat menjelang perlawanan menentang Nepal pada Mac lalu.
Dalam aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2027 itu, Hevel menjaringkan gol pada penampilan sulungnya, sekali gus membantu skuad kebangsaan menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram