
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat kejutan apabila membenarkan kelab Liga Super untuk mendaftar sebanyak 15 orang import pada musim 2025/2026 berbanding 12 import sahaja pada musim lepas.
Perubahan kuota import itu dibuat bagi memberi kesaksamaan kepada semua kelab dalam pendaftaran pemain import serta meningkatkan daya saing Liga Malaysia dengan kehadiran pemain import berkualiti.
Daripada jumlah itu, sembilan pemain boleh disenaraikan dalam senarai perlawanan, termasuk pemain utama dan simpanan yang terdiri daripada empat pemain terbuka, seorang pemain Asia, dan dua pemain dari negara Asean.
BACA LAGI: Bola sepak Perak: Kalau tiada akar, rotan pun berguna
BACA LAGI: Pilih kekal dalam dunia bola sepak, Nurri akui gembira di atas padang
Ada yang menyambut baik, terdapat juga penyokong mahupun bekas pemain kurang bersetuju dengan perubahan itu. Antara yang tampil menyuarakan pendapatnya ialah bekas tonggak Selangor dan Perak, Mohammad Hardi Jaafar.
Menerusi hantaran pada laman Facebook miliknya pada Isnin, Hardi Jaafar yang kini sudah bersara dari dunia bola sepak menegaskan bahawa pelaksaan 15 import itu hanya memberi kesan buruk kepada pemain lokal.
"Saya cakap ini bukan nak populariti atau apa-apa pun. Saya cuma nak bertanya kepada pihak yang mengendalikan Liga Malaysia ini. Adakah patut atau tidak setiap pasukan memerlukan khidmat pemain import seramai 15 orang.
"Kenapa tidak letak satu pasukan sahaja terus. Dalam bahasa kasar, kepala bana korang. Ini semua akan membuatkan pemain tempatan gali kubur dan tanam sendiri," katanya menerusi hantaran pada Isnin.
Hardi Jaafar yang kini berusia 46 tahun berkenaan juga mengingatkan bahawa terlebih berbelanja pemain import juga menjadi punca beberapa kelab 'lenyap' daripada saingan Liga Super seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC.
Pemain yang beraksi di posisi tengah itu juga mengingatkan bahawa saingan domestik masa kini seolah-olah dijajah oleh bintang import sehingga banyak menutup peluang bakat tempatan untuk menyerlah.
"Otak kamu pergi mana. Kalian sanggup lihat pasukan Kedah, Perak dan Pahang tarik diri dari liga. Padahal pasukan ini adalah yang terbaik dengan rekod mereka.
"Disebabkan satu dua pasukan bermain di ACL (Liga Juara-Juara Asia), kamu lupakan pasukan yang naikkan nama Malaysia dulu. Liga Malaysia sekarang dijajah oleh pemain luar. Bagi pasukan yang ada duit bagus," luahnya.
Apa yang dikatakan Hardi Jaafar ada benarnya, namun MFL sebelum ini menegaskan bahawa setiap kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi kuota pemain asing ini sebaliknya ia bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram