Bek muda dari Wolves, Singapura dan Filipina sesuai jadi pengganti Safuwan lepas dibuang Kinoshi


  • Podium
  • Selasa, 10 Jun 2025

Selangor FC perlu bijak mencari pengganti Safuwan untuk posisi pertahanan tengah. — Facebook/SelangorFC

KAPTEN Selangor FC, Safuwan Baharudin baru-baru ini tampil mendedahkan pekung asbab dia meninggalkan Gergasi Merah dengan pertahanan tengah itu mendakwa Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menjadi punca utama.

Bek tengah Singapura itu menjelaskan bahawa keputusan untuk meninggalkan kelab Lembah Klang dibuat kerana tidak dimasukkan dalam senarai pemain utama oleh Kinoshi yang juga mesra dipanggil sebagai Kino.

Meskipun kecewa, Safuwan menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dengan pemain berusia 33 tahun kini berpeluang untuk mencuba sesuatu yang eksklusif dan meneroka pengalaman baru dalam kariernya.

BACA LAGI: [VIDEO] Dilepaskan kelab EPL, Sabah FC antara 3 pasukan Liga Super sesuai rebut CB Indonesia

BACA LAGI: [VIDEO] 'Coach Kino tak nak saya', Safuwan buka pekung kenapa tinggalkan Selangor

 

 

Untuk rekod, Safuwan merupakan antara tonggak utama skuad kendalian Kinoshi musim 2024/2025 dengan dia beraksi cemerlang di benteng pertahanan dengan 29 penampilan, empat gol dan tiga bantuan jaringan.

Dengan Safuwan juga sudah terbuka mahu mencari cabaran baharu, skuad Gergasi Merah juga nampaknya perlu mula pencarian untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pertahanan tengah tersebut.

Selangor FC yang dilihat mahu menggunakan pemain muda di bahagian pertahanan tengah, barisan kejurulatihan diketuai Kinoshi boleh memantau tiga bek muda bagi digandingkan dengan Mohammad Abualnadi dan Harith Haiqal.

Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga bek tengah muda dari negara serantau yang wajar dipertimbangkan Gergasi Merah bagi membantu kempen Liga Malaysia (Liga M) dan saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada musim depan;

1) Adrian Ugelvik

Adrian antara bek muda Filipina yang menjadi tumpuan. — Agensi

Bek dari Filipina, Adrian Ugelvik wajar berada dalam senarai pengganti Safuwan susulan pemain berkenaan mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan luar negara iaitu bersama kelab divisyen tiga Norway, Brattvag.

Adrian yang beraksi di kelab Norway sejak remaja tersebut tampil cemerlang dalam beberapa perlawanan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Filipina terutama ketika saingan Piala AFF 2024.

Bantuan Adrian ketika saingan Piala AFF 2024 membantu Filipina bermain sehingga peringkat separuh akhir kejohanan berkenaan, sebelum mereka terpaksa akur tewas 1-3 kepada Thailand secara agregat.

Ketangkasan, kekuatan fizikal yang berketinggian 1.87 meter, dan kemampuan membaca permainan menjadikan pemain kacukan Filipina-Norway antara prospek pertahanan yang menjanjikan di rantau Asia Tenggara.

Di peringkat kelab sepanjang dia menyarung tiga jersi (Molde FK 11, Levanger, Brattvag), pemain berusia 23 tahun berkenaan sudah beraksi dalam 74 perlawanan dengan dia juga merekodkan dua gol.

2) Jordan Emaviwe

Jordan kini beraksi bersama Chiangrai United. — Agensi

Hilang Safuwan, Selangor masih boleh mencuba menggunakan khidmat rakan senegaranya iaitu bek tengah muda Singapura iaitu Jordan Emaviwe bagi memperkuatkan jentera belakang pada kempen 2024/2025.

Pemain berusia 24 tahun berkenaan yang kini bermain di Liga Thailand bersama Chiangrai United menunjukkan prestasi memberangsangkan bersama pasukan berkenaan sejak dia menyertainya pada awal Januari 2025.

Untuk info, Chiangrai bukan pengalaman pertamanya bermain di luar negara susulan Jordan pernah menghabiskan masa di kelab divisyen dua Switzerland FC Chiasso dan pasukan Italy iaitu Castiglione antara 2017 dan 2020.

Fakta menarik mengenai Jordan, dia bukan hanya mampu beraksi sebagai pertahanan tengah susulan juga sering mendapat kepercayaan sebagai penyerang tengah. Dalam 35 perlawanan bersama Chiangrai, Jordan sudah meledak 10 gol dah dua bantuan jaringan.

Berdiri dengan ketinggian 1.93 meter, kelebihan fizikal dan kepantasan Jordab di posisi pertahanan dilihat mampu memberikan dimensi baharu kepada barisan belakang dan hadapan gergasi Merah.

3) Justin Hubner

Justin masih menjadi bek tengah harapan Indonesia. — Agensi

Selain dua calon dari Filipina dan Singapura, bek tengah naturalisasi Indonesia iaitu Justin Hubner kini juga boleh menjadi calon pengganti Safuwan selepas dia dilepaskan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolverhampton Wanderers.

Pemain berusia 21 tahun yang kini beraksi bersama skuad simpanan Wolverhampton Wanderers serta menjalani tempoh pinjaman di kelab Belanda, FC Den Bosch, dilihat sebagai antara aset pertahanan paling bernilai dari Asia Tenggara ketika ini.

Berpunca daripada sistem pembangunan bola sepak Belanda, pemain kacukan Belanda-Indonesia ini turut membawa pengalaman antarabangsa bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun Indonesia, termasuk dalam kejohanan berprestij seperti Sukan SEA dan Piala Asia B-23.

Berbekalkan latar belakang latihan bola sepak di Eropah serta fizikal yang mantap, Justin dilihat sebagai prospek jangka panjang yang ideal untuk memperkukuh benteng pertahanan mana-mana pasukan Asia Tenggara.

Dengan gaya permainan yang tenang, kemampuan membaca permainan serta kekuatan dalam situasi bola tinggi, Justin berpotensi menjadi pengganti jangka panjang yang setanding dan mungkin lebih menyerlah berbanding Safuwan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram