'Revolusi Harimau Malaya, sasaran jadi muka tetap Piala Asia kini realistik'


  • Podium
  • Khamis, 12 Jun 2025

Malaysia seharusnya wajar menjadi muka tetap Piala Asia.

REVOLUSI Harimau Malaya dilihat berada pada landasan yang baik selepas ketibaan ramai pemain warisan baharu memberikan impak segera.

Impak tersebut dapat dilihat apabila skuad kendalian Peter Cklamovski berjaya membenam Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa.

Jaringan oleh Joao Figueredo, Rodrigo Holgado, La'Vere Corbin-Ong dan Dion Cools memastikan Harimau Malaya dalam posisi baik untuk ke Piala Asia.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ekor' Harimau Malaya diam-diam melibas, rupanya ada adegan panas fans Malaysia-Vietnam di luar stadium

BACA LAGI: Pernah bersama wonderkid Man United dan Arsenal, Joao Figuerdo mampu buat Harimau Malaya mengaum

Malaysia wajar menjadikan sasaran layak ke setiap edisi Piala Asia satu kemestian. — Malaysia NT

Apa yang dipersembahkan oleh Harimau Malaya jelas memuaskan dan itu memberi gambaran kepada masa depan yang lebih cerah buat Harimau Malaya.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Nizam Archibald, revolusi Harimau Malaya menampakkan perubahan ketara dari segi kualiti dan corak permainan hingga boleh menewaskan Vietnam.

"Ia adalah sesuatu yang berbeza. Sesuai dengan nama revolusi bola sepak Malaysia. Kemasukan pemain warisan banyak meningkatkan kualiti permainan skuad negara. Setelah sekian lama, akhirnya kita berjaya menumbangkan Vietnam di Bukit Jalil.

"Vietnam pesaing terdekat kita dan kemenangan ke atas mereka pada Selasa, mencerahkan peluang kita. Sekarang kita perlu kekalkan momentum dan terus persiapkan pasukan terutamanya berdepan Vietnam di tempat mereka Mac depan," kata Nizam kepada Majoriti.

Dalam masa yang sama, Nizam berpendapat revolusi Harimau Malaya dapat membantu merealisasikan misi menjadikan Malaysia sebagai antara muka tetap Piala Asia di masa akan datang.

Sebelum ini, bekas pengendali Malaysia, Kim Pan-gon pernah berkata yang Harimau Malaya perlu layak ke Piala Asia secara konsisten supaya kualiti bola sepak negara boleh meningkat.

Ia secara tak langsung menjadi satu sasaran yang realisitik untuk skuad negara capai memandangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang aktif dalam melaksana projek pemain warisan.

"Layak ke Piala Asia secara konsisten dan sedikit demi sedikit menjadi pasukan yang memberi cabaran di peringkat Asia untuk cuba pecah masuk ke Piala Dunia.

"Mungkin terlalu awal nak bermimpi ke Piala Dunia, jadi sekurang-kurangnya nak tengok Malaysia boleh pergi sejauh mungkin dalam kelayakan Piala Dunia edisi seterusnya. Malaysia beraksi dalam Piala Asia di Arab Saudi dan kemudian Piala Dunia di Arab Saudi, siapa tahu?," ujar Nizam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram